
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 4 Okt (MalaysiaAktif) – Kadar kebolehpasaran graduan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Labuan kini telah mencapai 97 peratus.
Menurut Ketua Pengarah JTM Datuk Rospiagos Taha statistik bagi tahun 2025 menunjukkan peningkatan ketara berbanding 92.4 peratus kebolehpasaran graduan yang direkodkan tahun lepas.

Rospiagos (dua dari kanan) semasa menyantuni para pelajar.
“Pada hari ini negara memerlukan lebih ramai individu dengan kemahiran teknikal dan vokasional di mana kajian pasaran menunjukkan individu berkemahiran tinggi dalam bidang ini mampu menyumbang kepada kecekapan serta daya saing kepada sesuatu industri seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
“Ini menunjukkan pelajar lepasan kemahiran berupaya membantu meningkatkan produktiviti dan memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya semasa merasmikan Program Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ADTEC JTM Kampus Labuan, di sini hari ini.
Jelasnya, kolaborasi antara JTM dan pihak industri merupakan agenda utama untuk memastikan kursus yang ditawarkan sentiasa relevan, mengikuti arus perkembangan teknologi, serta berdaya saing.
“Syarikat WSL Technology Sdn. Bhd telah merekrut empat orang bekas pelajar institut ini untuk menyertai organisasi mereka dan dua daripada mereka telah dihantar ke China untuk menjalani latihan lanjutan sekali gus menunjukkan komitmen syarikat dalam membangunkan potensi tenaga kerja tempatan ke peringkat antarabangsa.

Rospiagos (paling kanan) beramah mesra dengan wakil industri yang menyertai Karnival TVET ADTEC JTM Kampus Labuan.
“Manakala, Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sabah dengan kerjasama ADTEC JTM Kampus Labuan telah menganjurkan Kursus Kompetensi Perpaipan Retikulasi Air (PWR2) siri 1 yang telah dilaksanakan pada bulan Jun 2025 dan siri 2 pada bulan September 2025 di Bengkel Teknologi Paip dan Sanitari ADTEC JTM Kampus Labuan,” katanya.
Tambahnya, kerjasama erat dengan industri adalah penting bagi memastikan program yang dilaksanakan menepati kehendak sebenar industri selain merapatkan jurang kompetensi antara graduan TVET dan keperluan industri semasa.
-RI





