
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)
PENDANG, 5 Okt (MalaysiaAktif) – Haiwan turut mempunyai hak untuk dilindungi daripada penderaan dan pengabaian.

Dr. Shaharul ketika menyampaikan ucapan.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah Dr. Shaharul Amar Talib berkata Akta Kebajikan Haiwan 2015 menetapkan haiwan seperti kucing dan anjing mempunyai hak yang wajib dijaga.
“Sekiranya hak-hak ini dilanggar atau haiwan dianiaya, tindakan undang-undang boleh diambil,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Kebajikan Haiwan dan Sambutan Hari Rabies Sedunia 2025, di sini semalam.

Antara yang hadir sempena Majlis Perasmian Karnival Kebajikan Haiwan dan Sambutan Hari Rabies Sedunia 2025.
Menurutnya, program tahunan itu diadakan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat tentang tanggungjawab mereka terhadap haiwan serta undang-undang yang melindungi kebajikan haiwan di negara ini.
Tambahnya, penganjuran karnival itu juga memberi ruang kepada masyarakat untuk memahami bahawa kebajikan haiwan bukan sekadar menyediakan makanan, tetapi turut merangkumi perlindungan tempat tinggal, penjagaan kesihatan dan layanan yang berperikemanusiaan.
Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas di Stadium Mini Pendang, di sini bukan sahaja memperkukuh kesedaran awam terhadap tanggungjawab moral dan undang-undang dalam menjaga haiwan, malah menyemai nilai kasih sayang serta keprihatinan sejagat dalam kalangan masyarakat.
-RI





