Skip to main content
SarawakBerita Tempatan

Program Sehari Bersama Komuniti MADANI Perkasa Penduduk Kampung Darul Fallah

By 5 Oktober 2025Oktober 6th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Priscilla Kathy Paul (Sarawak)

SERIAN, 5 Okt (MalaysiaAktif) – Komuniti MADANI Kampung Darul Fallah Temong, Tebedu berjaya menganjurkan Program Sehari Bersama Komuniti MADANI yang memberi pelbagai manfaat kepada penduduk setempat di sekitar kawasan Tebedu di sini, semalam.

Program sehari itu diisi dengan pelbagai pengisian bermanfaat antaranya Jualan Rahmah MADANI Bergerak, Slot Khas Komuniti MADANI X NADI dan sesi ceramah oleh kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Serian yang memberi tumpuan terhadap kefahaman dasar dan inisiatif kerajaan.

Ketua Komuniti MADANI Kampung Darul Fallah Temong Rabuni Majini ketika ditemui berkata kerjasama baik Pejabat Penerangan Daerah Serian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Serian dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Tebedu telah berjaya mencapai matlamat menyampaikan mesej penting kerajaan kepada ahli Komuniti MADANI.

Penerangan mengenai BUDI95 oleh kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Serian membolehkan pemahaman asas kepada penerima subsidi petrol RON95.

“Penerangan tentang BUDI MADANI RON95 atau BUDI95 yang disampaikan oleh pihak Pejabat Penerangan Daerah Serian amat penting bagi memastikan komuniti memahami dasar dan inisiatif kerajaan dengan jelas dan melalui sesi sebegini juga, Komuniti MADANI mampu menyalurkan maklumat yang sahih kepada masyarakat di sini,” katanya.

Menurutnya, Jualan Rahmah MADANI Bergerak pula memberi peluang kepada penduduk luar bandar menikmati harga barangan keperluan asas pada kadar lebih rendah, selain membolehkan mereka membuat penebusan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara terus di kawasan mereka.

Jualan Rahmah di Program Sehari Bersama Komuniti MADANI mendapat sambutan menggalakkan masyarakat setempat.

“Program Jualan Rahmah amat membantu mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah dan mendekatkan lagi perkhidmatan kerajaan kepada rakyat tanpa perlu mereka bersusah payah ke bandar atau pekan,” jelas Rabuni.

Sesi ceramah Kempen Internet Selamat oleh Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Tebedu turut diadakan melalui Slot Khas Komuniti MADANI X NADI bertujuan memperkasakan komuniti setempat berhubung pengetahuan keselamatan siber dan kepentingan mendapatkan maklumat yang sahih secara beretika di alam maya.

Program itu bukan sahaja berjaya menyampaikan mesej penting kerajaan tetapi juga memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti di kawasan tersebut.

-RJ-

Tinggalkan komen anda