Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Jelajah Komuniti Digital Perkasa Penduduk Luar Bandar di Sibuti

By 6 Oktober 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Philip Johnny (Sarawak)

SIBUTI, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Lebih 250 penduduk bersama ketua masyarakat dan wakil agensi kerajaan menghadiri Program Jelajah Komuniti Digital yang bertujuan merakyatkan pendigitalan anjuran Kementerian Digital dengan kerjasama MyDIGITAL Corporation dan MYNIC Berhad di Rumah Panjang Johnson Jangu, Seloi Tengah, semalam.

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong yang hadir merasmikan majlis berkata program tersebut membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah meminggirkan komuniti luar bandar ketika Malaysia menuju sebagai sebuah negara berteknologi Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030.

“Kemahiran digital bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan dan kerana itu masyarakat luar bandar juga harus diberikan peluang menguasai kemahiran ini agar tidak ketinggalan, yang secara langsung turut membuka laluan kepada peluang pendidikan, perniagaan, hasil pertanian dan perusahaan kecil yang lebih luas,” katanya ketika berucap merasmikan program.

Menurut beliau, isu wifi dan komunikasi akan terus disalurkan ke peringkat kementeriannya untuk dicari penyelesaian dalam merapatkan lagi jurang digital bandar dan luar bandar.

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong menyampaikan ucapan perasmian Jelajah Digital Bersama Komuniti.

Ugak turut menambah, kerajaan menekankan kepada tiga tiang utama Kementerian Digital iaitu kerajaan digital, ekonomi digital dan masyarakat digital di mana masyarakat digital diberi perhatian menerusi Program Jelajah Komuniti Digital.

“Pada masa sama, Digital-First Mindset perlu kita amalkan kerana ini adalah pemangkin ekonomi digital Malaysia,” tambahnya lagi.

Masyarakat setempat juga menyambut baik inisiatif kerajaan tersebut dan menyifatkan ia sebagai peluang berharga untuk mereka di rumah panjang mengenali dunia digital dengan lebih dekat.

“Kami di luar bandar jarang mendapat pendedahan sebegini dan kini barulah saya memahami bagaimana teknologi boleh membantu bantu anak cucu untuk belajar malah ia juga memudahkan urusan harian kami dan harapan saya biarlah program seperti ini kerap diadakan,” kata Peria Elong, 60, ketika ditemui semasa program berlangsung.

Sementara itu, Serit Kebok, 73, berterima kasih kepada kerajaan kerana masyarakat luar bandar tidak diketepikan daripada arus pendigitalan negara.

“Walaupun sudah berusia, saya tetap ingin belajar memandangkan sekarang ini banyak urusan mengguna internet.

“Melalui program seperti ini, kami yang telah berusia juga dapat belajar sedikit demi sedikit dan kerana itu kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana datang ke sini untuk tujuan membimbing kami,” ujarnya.

Kecanggihan teknologi AI memperlihatkan gadis Iban di rumah panjang tidak melepaskan peluang untuk merakam foto di Photobooth AI.

Program tersebut menampilkan sesi bimbingan MYNIC mengenai kepentingan domain.my, termasuk latihan peribadi one-to-one oleh Master Trainer MYNIC Cikgu Yaser manakala MyDIGITAL pula memperkenalkan inisiatif Rakyat Digital yang menawarkan pelbagai kursus atas talian percuma seperti AI untuk Rakyat, Cloud untuk Rakyat, CyberSAFE® untuk Rakyat dan Generative AI dan sehingga kini, lebih 1.4 juta rakyat Malaysia telah menyertainya.

Sesi lain termasuk aktiviti interaktif, hadiah menarik dan sesi santai bersama Timbalan Menteri yang memperkukuhkan hubungan antara masyarakat bersama pemimpin memperlihatkan Jelajah Komuniti Digital ini sebagai tekad kerajaan untuk menjadikan pendigitalan hak semua rakyat, tanpa mengira lokasi, dari bandar hinggalah ke luar bandar.

-RJ-

Tinggalkan komen anda