Skip to main content
Berita TempatanSabah

Farm Tokou, Yayasan Hasanah Komited Bantu Mangsa Banjir

By 6 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Dexter Cysonned/Farm Tokou (Penampang)

PENAMPANG, 6 Okt (MalaysiaAktif) – Farm Tokou dengan kerjasama strategik Yayasan Hasanah telah menyalurkan bantuan pasca bencana kepada lebih 200 penduduk di daerah Penampang yang terkesan banjir baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Farm Tokou, Gerald Wong berkata misi bantuan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat untuk membantu keluarga yang kehilangan tempat tinggal atau barang keperluan akibat banjir kilat di Penampang.

Jelasnya, bantuan yang disalurkan berupa barangan keperluan asas diharap dapat memastikan keluarga yang terkesan meneruskan kehidupan dengan lebih selesa dan kondusif selepas bencana.

Gerald Wong (berbaju hitam) bersama anggota dari Farm Tokou dan sukarelawan yang terlibat dalam majlis Pengagihan Bantuan Pasca Banjir di Dewan IPD Penampang.

“Sebagai sebuah perusahaan sosial yang lahir daripada komuniti, kami percaya kejayaan sebenar tidak hanya diukur melalui hasil pertanian semata-mata, tetapi juga sejauh mana kita mampu berdiri bersama masyarakat ketika mereka berdepan kesusahan.

“Bantuan ini mungkin kecil bagi sesetengah pihak, namun bagi keluarga yang kehilangan rumah dan harta benda, ia membawa makna yang amat besar. Inilah cara kami menyatakan solidariti, empati dan kasih terhadap komuniti di sekeliling kami,” katanya semasa majlis Penyerahan Bantuan Pasca Banjir di Dewan Tokou, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di sini pada Ahad.

Antara barangan keperluan asas yang diagihkan kepada lebih 200 keluarga mangsa banjir di daerah Penampang.

Inisiatif berkenaan turut mendapat sokongan daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Moyog untuk mengenal pasti senarai penerima bantuan di samping kemudahan dewan disediakan oleh Majlis Perbandaran Penampang.

Antara bantuan yang disalurkan kepada mangsa yang terlibat meliputi barangan keperluan harian seperti bantal, tuala, dapur gas memasak dan periuk nasi termasuk keperluan kanak-kanak, lampin pakai buang bayi serta botol susu.

-RJ-

Tinggalkan komen anda