
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 6 Okt (MalaysiaAktif) – Program Civil Defence Fun Run 2025 dianjurkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilihat mampu untuk memupuk perpaduan dan mengeratkan hubungan antara masyarakat dengan agensi keselamatan tersebut.

Nizam ketika berucap merasmikan Program Civil Defence Fun Run 2025 di Wisma Persekutuan Tawau.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata usaha yang digarap menerusi Kelab Pertahanan Awam Tawau itu sekali gus mengukuhkan imej APM sebagai agensi kerajaan yang sentiasa dekat dengan rakyat.
Jelasnya, program berkenaan turut menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di samping memperkenalkan fungsi dan peranan APM dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Tawau.
“Penyertaan pelbagai golongan termasuk kadet pertahanan awam sekolah-sekolah sekitar Tawau menunjukkan bahawa APM semakin dekat di hati masyarakat serta memainkan peranan penting dalam membina semangat kesukarelawanan dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Nizam menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori lelaki larian 5km Civil Defence Fun Run 2025.
“Saya melihat program seperti ini dapat merapatkan hubungan silaturahim antara masyarakat dan APM serta memberi kesedaran kepada semua pihak mengenai pentingnya kesihatan dan kesejahteraan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Civil Defence Fun Run 2025 di perkarangan Wisma Persekutuan Tawau di sini pada Ahad.
Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Apas, Nizam turut berharap agar program berteraskan komuniti itu akan diteruskan pada masa akan datang.
Untuk makluman, program berkenaan berjaya menarik penyertaan lebih 500 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dengan pelbagai acara menarik antaranya senamrobik, penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan dan cabutan bertuah.
-RJ-





