Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Syamil Juara dari Perlis Tembus Para Sukan Asia

By 7 Oktober 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat

KANGAR, 7 Okt (MalaysiaAktif) – Dari padang hijau ke pentas sukan Asia di Hong Kong, nama Mohamad Syamil Mohamad Fauzi kini menjadi kebanggaan negeri Perlis dan Malaysia apabila muncul juara kategori B5-B8 Mixed Pairs dalam Hong Kong Para Lawn Bowls Invitation Championships 2025, sebuah kejohanan berprestij yang menghimpunkan atlet para dari seluruh Asia.

Kejayaan yang diraih oleh Syamil sepanjang pembabitannya sebagai atlet para negeri Perlis, buktikan hasil semangat juang dan komitmen tinggi beliau terhadap sukan tersebut

Anak jati Perlis berusia 31 tahun itu mula menceburi sukan boling padang sejak remaja.

Minat mendalamnya terhadap sukan berkenaan dita,bah sokongan keluarga dan rakan-rakan, menjadi pemangkin kejayaan Mohamad Syamil yang kini membawanya ke peringkat antarabangsa.

Menurut Mohamad Syamil, kecacatan yang dialaminya tidak pernah menjadi penghalang untuk berjaya, sebaliknya menjadi sumber kekuatan untuk membuktikan bahawa semangat dan keazaman mampu mengatasi segala kekurangan.

“Saya mula main boling padang sebab nak cabar diri. Saya percaya kalau kita betul-betul fokus, tiada apa yang mustahil walaupun dengan kekangan fizikal,” katanya ketika ditemui dalam sesi rakaman bersama Jabatan Penerangan Negeri Perlis di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, kelmarin.

Sejak menyertai dunia sukan kompetitif, Mohamad Syamil telah mencipta pelbagai kejayaan membanggakan antaranya Naib Juara Pairs di Kejohanan Lawn Bowls Open Pairs for Disabled Negeri Sembilan 2023, Juara Pairs dan Naib Juara Singles di Para SUKMA Sarawak 2024, serta Juara kategori B8 di 3rd Lawn Bowls Open Pairs for the Disabled Negeri Sembilan 2025.

Syamil atlet para boling padang Negeri Perlis, ditemu bual oleh pihak Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Perlis bagi perkongsian kisah kejayaannya di pentas antarabangsa

Di peringkat antarabangsa, beliau pernah meraih Naib Juara Singles di 3rd Asia Bowls Championship for the Disabled 2022, Juara Triple di Langkawi Goodwill Games 2023, dan Tempat Ketiga Singles serta Pairs di Asia Bowls for Disabled Championship Thailand 2024, sebelum menutup kejayaan cemerlang dengan gelaran juara Mixed Pairs di Hong Kong Para Lawn Bowls Invitation Championships 2025.

“Yang paling bermakna bila dapat bawa bendera Jalur Gemilang naik ke atas pentas di luar negara. Itu detik yang buat saya rasa segala pengorbanan berbaloi,” katanya sambil tersenyum.

Kejayaan Mohamad Syamil menjadi bukti bahawa semangat tidak mengenal batas dan setiap kekurangan mampu menjadi kekuatan apabila disertai tekad dan usaha tanpa henti.

-AA-

Tinggalkan komen anda