
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan (Negeri Sembilan)
PORT DICKSON, 8 Okt (MalaysiaAktif) – Masalah kesihatan mental kini menjadi isu yang semakin membimbangkan dan tidak mengenal usia, jantina mahupun latar belakang sosial, justeru usaha memperkukuh sokongan terhadap kesejahteraan mental perlu dilaksanakan secara berterusan di semua peringkat masyarakat.

Dif kehormat bersama jemputan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Sembilan, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata pendekatan holistik yang merangkumi dasar nasional, program komuniti serta peranan keluarga amat penting bagi memastikan isu berkenaan dapat ditangani dengan lebih berkesan.
“Masalah kesihatan mental semakin kompleks dan berkait rapat dengan faktor sosial, termasuk isu buli. Oleh itu, pencegahan perlu dilakukan sejak di peringkat awal dengan memberi pendidikan kepada murid tentang bahaya buli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Sembilan 2025 di Auditorium Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, semalam.
Tengku Zamrah turut memaklumkan bahawa Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati hampir satu juta rakyat Malaysia mengalami kemurungan, iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2019.

Persembahan senaman tali.
“Perangkaan ini jelas menunjukkan bahawa isu kesihatan mental perlu ditangani secara serius dengan memberi penekanan kepada akses perkhidmatan yang lebih mudah, mesra dan menyeluruh,” katanya lagi.
Pelbagai pengisian menarik turut dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan sempena sambutan tersebut, termasuk Jelajah Kesihatan Mental Wellness Wizard, pertandingan mewarna dan aktiviti aerodance.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr. Zuraida Mohamed, dan Pegawai Kesihatan Daerah Port Dickson, Dr. Esther Rishma Sundram.
-AA-





