Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Festival Cita Rasa Warisan @IPT 2025 Martabatkan Makanan Tradisional Sebagai Identiti Negara

By 9 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sufian Rashid (Seberang Perai Tengah)

PERMATANG PAUH, 9 Okt (MalaysiaAktif) – Jabatan Warisan Negara (JWN) terus komited memartabatkan makanan tradisional sebagai warisan negara menerusi penganjuran Festival Cita Rasa Warisan @ IPT 2025 yang berlangsung pada 7 hingga 8 Oktober di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh.

Sesi lawatan ke reruai pameran makanan tradisional warisan

Festival yang mengetengahkan tema Memartabatkan Makanan Warisan itu menjadi platform penting memperkasakan penyelidikan, dokumentasi dan pengiktirafan terhadap warisan makanan negara, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Menurut Pengarah JWN Mohamad Muda Bahadin, penganjuran itu sejajar dengan komitmen kerajaan memperkukuh identiti budaya melalui pemeliharaan warisan tidak ketara agar kekal relevan dan dihargai oleh rakyat pelbagai lapisan masyarakat.

“Setakat ini sebanyak 213 jenis makanan tradisional telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

“Ini membuktikan komitmen Malaysia dalam memelihara warisan tidak ketara, sekali gus menjadikan negara kita antara yang paling aktif di rantau ini,” katanya di sini kelmarin.

Beliau menambah, dapatan daripada 13 pembentangan kertas kerja dalam persidangan tersebut diharap dapat menyumbang kepada perumusan dasar baharu berkaitan makanan warisan selaras dengan aspirasi Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN).

Penganjuran festival berkenaan turut menyokong peranan Malaysia sebagai ahli Jawatankuasa Antara Kerajaan UNESCO (2022–2026) yang menumpukan kepada hala tuju pemeliharaan warisan dunia di peringkat global.

Wong Hon Wai hadir merasmikam Festival Cita Rasa Warisan @ IPT 2025

Sementara itu, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang Wong Hon Wai, berkata Pulau Pinang telah lama sinonim dengan gelaran syurga makanan, bukan hanya kerana kepelbagaian rasa dan budaya, tetapi juga nilai warisan yang terkandung dalam setiap hidangan.

“Setiap sajian di Pulau Pinang bukan sekadar untuk mengenyangkan perut, tetapi membawa cerita dan identiti masyarakat berbilang kaum yang hidup harmoni. Keunikan inilah yang menjadikan pelancongan makanan warisan sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negeri,” jelasnya.

Beliau turut menambah bahawa platform global TimeOut telah menobatkan Pulau Pinang sebagai salah satu daripada 10 Bandar Makanan Jalanan Terbaik di Asia yang wajib dicuba merupakan satu pengiktirafan yang mengukuhkan lagi reputasi negeri itu sebagai destinasi gastronomi utama di rantau ini.

-AA-

Tinggalkan komen anda