Skip to main content
Berita TempatanRencana & Pendapat

Busana Etnik Sarawak: Tradisi Disulam Gaya Kontemporari

By 9 Oktober 2025Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto : Roslen Jati (JAPEN)/Free Malaysia Today (FMT)/Sarawak Tribune

PUTRAJAYA, 9 Okt (MalaysiaAktif) – Busana etnik Sarawak memang tak pernah jemu dipandang. Dari tenunan pua kumbu yang sarat makna hingga ke indahnya sulaman benang emas keringkam, semuanya menggambarkan kekayaan budaya yang mendalam. Setiap tenunan, sulaman dan aksesori bukan sekadar perhiasan tetapi membawa kisah asal-usul, simbol kepercayaan dan lambang identiti kaum.

Selayah Keringkam bukan sekadar selendang, tapi lambang keanggunan wanita Sarawak yang kekal mempesona.                      Sumber : D Keringkam By Danny Zulkifli

Tradisi yang Kekal Anggun

Busana tradisional seperti baju burung Iban, kebaya keringkam Melayu Sarawak, pakaian Ngepan Indu dan baju Ta’ah Bidayuh sering mencuri perhatian dengan perincian halus serta warna yang sarat makna. Dahulu, busana ini hanya dipakai dalam upacara adat atau perayaan seperti Gawai, Kaul dan majlis perkahwinan.

Namun kini, keindahan itu tidak lagi terperuk di almari tradisi. Ia mula menapak ke dunia fesyen moden menerusi sentuhan kreatif pereka muda yang berani bereksperimen dengan gaya kontemporari. Elemen tradisional diserap dan diolah semula dalam rekaan yang sesuai untuk majlis rasmi, pertunjukan fesyen malah gaya harian.

Pereka Muda, Sentuhan Segar

Kebangkitan pereka muda Sarawak membuka lembaran baharu dalam dunia fesyen tempatan. Mereka bijak menggabungkan elemen lama dengan potongan moden yang lebih segar, praktikal dan berjiwa muda.

Antara nama yang menyerlah termasuk Keith Sim, Yacutha, Nasarudin Latep (Nasha Prive), Lucille Awen Jon (label Pungu Borneo), Kesya Fatin, Maglissa, Sangon, Sade Morni, Neng Kho Razali, HarizanK, By Lhuna, Syafiqah Jalil, Elysia Law, dan Aiman Amir.

Mereka tampil dengan rekaan yang menjadikan tenunan pua kumbu, motif keringkam dan sulaman tradisional sebagai fokus utama  namun digabung dengan fabrik moden, potongan minimalis dan gaya yang mudah digayakan.

Model memakai koleksi berinspirasi etnik dengan motif pua-kumbu / ikat, aksesori tradisional, dan gabungan warna ‘earthy & pastel’.  Sumber: FabUK Magazine.

Contohnya, pua kumbu kini dijadikan material untuk jaket cropped, skirt labuh atau beg tangan etnik moden, manakala motif keringkam pula disulam halus di atas kain chiffon atau satin bagi menghasilkan tampilan lembut tetapi tetap elegan. Ada juga yang berani menampilkan elemen tradisi dalam bentuk kasual  seperti T-shirt bercorak etnik atau palazzo dengan hiasan tenunan Borneo di hujungnya. Nampak moden, tapi masih kekal dengan jiwa tradisi.

Tradisi Bertemu Trend

Menariknya, trend fesyen masa kini semakin beralih kepada nilai autentik dan identiti budaya. Pereka muda Sarawak melihat warisan sebagai sumber inspirasi yang hidup, bukan sekadar kenangan masa lalu.

Pertunjukan fesyen di Kuching dan Kuala Lumpur sering menampilkan koleksi bertemakan “Borneo Chic” gabungan corak etnik dengan gaya urban seperti jaket bomber, skirt pleated, dan kemeja oversized. Koleksi sebegini bukan sahaja menarik minat penggemar fesyen tempatan, malah turut mendapat perhatian pelancong dan peminat fesyen antarabangsa.

Potret busana bahan etnik (pua kumbu / motif Iban) dengan gaya gaun atau busana malam moden.           Sumber : Free Malaysia Today.

Warisan yang Terus Dihidupkan

Perjalanan fesyen etnik Sarawak membuktikan bahawa warisan tidak pernah lapuk, cuma perlu disegarkan dengan kreativiti. Pereka muda ini bukan sekadar menghasilkan pakaian, tetapi menghidupkan semula kisah lama melalui warna, corak dan jahitan.

Setiap helaian menjadi jambatan antara tradisi dan kemodenan  dari rumah panjang/kampung hingga ke pentas peragaan dunia. Fesyen moden Sarawak kini bukan sekadar tentang rupa, tetapi juga tentang jiwa, akar dan identiti yang terus disulam dalam setiap rekaan.


Busana etnik Sarawak kini berdiri megah di tengah dunia fesyen moden  bukan sekadar warisan, tetapi inspirasi. Dengan sentuhan pereka muda yang berani dan berjiwa kreatif, tradisi itu terus hidup dalam bentuk baharu, penuh gaya, bererti dan membanggakan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda