Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

J-Home One Stop Centre Perumahan Iskandar Puteri Permudah Urusan Pembelian Rumah

By 9 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Mohd Zahid Othman/ Facebook Mohd Jafni Md Shukor

ISKANDAR PUTERI, 9 Okt (MalaysiaAktif) — Inisiatif J-Home One Stop Centre (OSC) Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor menjadi simbol kecekapan baharu dalam penyampaian perkhidmatan perumahan negeri apabila segala urusan pembelian rumah kini dapat diselesaikan di satu lokasi dengan lebih pantas dan mesra rakyat.

Semua urusan dokumentasi pembelian rumah termasuk dengan pihak bank, peguam serta agensi teknikal dapat diselesaikan di satu tempat dengan lebih cepat dan efisien menerusi inisiatif J-Home OSC. – Datuk Mohd Jafni Md Shukor

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata pelaksanaan J-Home OSC merupakan satu pembaharuan pentadbiran yang bukan sahaja menawarkan kemudahan logistik kepada rakyat, malah mampu mengurangkan kerenah birokrasi dalam proses pemilikan rumah.

“Melalui J-Home OSC, semua urusan dokumentasi pembelian rumah termasuk dengan pihak bank, peguam serta agensi teknikal dapat diselesaikan di satu tempat dengan lebih cepat dan efisien.

“Ini selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memodenkan sistem penyampaian perkhidmatan awam, seiring semangat Maju Johor yang dipacu oleh Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program Penyerahan Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) dan J-Home One Stop Centre (OSC) berlangsung di Dewanraya Bukit Indah, di sini hari ini

Sementara itu, Mohd Jafni memaklumkan Projek Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor Fasa 2 merupakan antara projek perumahan paling signifikan di selatan tanah air, membabitkan pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) jenis D1 berharga RM250,000 dan D2 berharga RM300,000.

“Lebih 7,900 permohonan telah diterima bagi kedua-dua jenis rumah tersebut, menunjukkan sambutan luar biasa rakyat terhadap inisiatif itu yang juga sebahagian daripada Agenda 100,000 Rumah Mampu Milik Johor menjelang 2030.

“Setakat ini, lebih 17,700 unit telah siap dibina manakala 12,000 unit lagi sedang dalam pembinaan di seluruh negeri,” jelasnya.

Tambahnya, keseluruhan pembangunan perumahan Bangsa Johor di Iskandar Puteri melibatkan lebih 2,000 unit rumah dalam tiga fasa utama dengan tiga kategori harga, RM150,000, RM250,000 dan RM300,000 menjadikannya projek perumahan mampu milik terbesar di kawasan tersebut.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) Datin Paduka Dr Suhailizan Suliman dan Pengurus Besar Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Datuk Lukman Abu Bakar.

-AA-

Tinggalkan komen anda