Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

PUO Jalin Kolaborasi Bersama 8 Organisasi Terkemuka

By 9 Oktober 2025November 4th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Sarah Nur Saad (Perak)/ Unit Komunikasi Korporat PUO

IPOH, 9 Okt (MalaysiaAktif) – Politeknik Ungku Omar (PUO) hari ini memeterai kolaborasi strategik bersama lapan organisasi terkemuka bagi memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan industri serta membuka peluang lebih luas kepada pelajar dan graduan politeknik berkenaan.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat PUO, kerjasama tersebut dimeterai melalui sesi menandatangani Surat Hasrat (LoI) sempena Program Career Connect @ PUO 2025 yang diadakan di Dewan Jubli Perak, di sini semalam.

Peserta turut terlibat dalam pelbagai aktiviti menarik di reruai program

Antara organisasi yang terlibat ialah International Cultural Communication Centre Malaysia, Barakah Systems Sdn. Bhd., Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), Kopetro Food Sdn. Bhd., Proweld Training Centre Sdn. Bhd., Crescent Gear Solution Sdn. Bhd., Universitas Dian Nusantara, dan Hande (Malaysia) Sdn. Bhd.

Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh, berkata kolaborasi tersebut membuktikan komitmen berterusan PUO dalam memperkukuh jalinan bersama pihak industri bagi memastikan graduan yang dilahirkan memenuhi keperluan pasaran semasa.

Sesi bergambar Program Career connect @ PUO 2025

Dalam pada itu, beliau berkata Program Career Connect @ PUO 2025 bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar dan graduan PUO berinteraksi secara langsung dengan wakil industri, malah berperanan mengukuhkan jaringan profesional dan memperluas prospek kerjaya mereka.

“Program seumpama ini turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan PUO dengan industri serta komuniti setempat dalam usaha memperkasa pendidikan teknikal dan vokasional (TVET),” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.

Sementara itu, lebih 1,000 peserta menyertai pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung termasuk bengkel minda sihat, seminar kerjaya dan sesi temu duga terbuka yang memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai keperluan dunia pekerjaan sebenar.

-AA-

Tinggalkan komen anda