
Laporan/foto: Faizal Nazmi/BERNAMA
PUTRAJAYA, 10 Okt (MalaysiaAktif) – RM470 bilion diperuntukkan Kerajaan MADANI dalam Belanjawan 2026, umum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini.
Anwar berkata jumlah itu meningkat berbanding RM452 bilion yang diperuntukan dalam belanjawan sebelum ini.
“Sambil mengekalkan komitmen pada FRA (Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023), momentum pertumbuhan terus didukung dasar fiskal yang mengembang.
“Belanjawan 2026 akan mengumpul dan mengoptimum sumber negara termasuk dana GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan), badan berkanun Persekutuan dan syarikat MKD (Menteri Kewangan (Diperbadankan)) melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lalu,” katanya.
Angka itu katanya meliputi RM338.2 bilion belanja mengurus (OE) Persekutuan, RM81 bilion belanja pembangunan (DE) Persekutuan, RM30 bilion pelaburan GLIC, RM10 bilion pelaburan awam-swasta, dan RM10.8 bilion pelaburan badan berkanun Persekutuan dan syarikat MKD.
Dengan tema ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’, pembentangan kali ini menandakan edisi keempat siri Belanjawan MADANI dan julung kali disediakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026–2030.
“Mengangkat tema Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat, setelah mengusung reformasi, kini masa memulangkan hasil kepada rakyat.
“Selaku belanjawan sulung yang menyemangati RMK13, Belanjawan 2026 menetapkan sembilan Tekad Utama berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI,” kata Menteri Kewangan itu.
Sembilan Tekad Utama berkenaan ialah Meluhur Tatakelola Terbaik; Memenuhi Keutamaan Rakyat; Menjuarai Ekonomi Bernilai Tinggi; Memacu Produk Ciptaan Malaysia; dan Meperkukuh Ketahanan Negara.
Selain itu, Merapat Kesenjangan, Mencipta Peluang; Menjamin Kelangsungan Hidup Rakyat; Memperkasa Perkhidmatan Rakyat; dan Membina Jati Diri, Membangun Nilai Insani.
Anwar dalam pembentangannya antara lain mengumumkan Sabah dan Sarawak menerima peruntukan pembangunan tertinggi dalam Belanjawan 2026, masing-masing berjumlah RM6.9 bilion dan RM6 bilion.
“Menyemangati Perjanjian Malaysia 1963, Kerajaan MADANI bertekad memastikan kepesatan pembangunan di Sabah dan Sarawak. Ini bukan sekadar janji, tetapi tindakan nyata untuk merapatkan jurang pembangunan terutamanya prasarana asas.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan lebih RM700 juta bagi latihan serta perolehan aset dalam usaha meningkatkan keupayaan badan penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Beliau berkata ia didorong hasil keputusan kerajaan sebelum ini yang memilih untuk membaiki tatakelola berbanding mengenakan cukai tambahan dalam usaha menambahbaik prasarana dan bantuan rakyat.
“Sejak di bawah MADANI, badan penguatkuasa berjaya memperoleh hasil rampasan dan kutipan penalti hampir RM15.5 bilion. Demikian maksud kami tatkala menekankan tatakelola dalam pemerintahan.
“Bayangkan wang yang disakau dan dirompak dapat dikembalikan dalam tempoh dua tahun mencecah RM15.5 bilion,” katanya.
Belanjawan 2026 juga menyaksikan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima peningkatan peruntukan iaitu masing-masing sebanyak RM21.7 bilion dan RM21.2 bilion.
Menurut Anwar, keutamaan dalam penyaluran peruntukan itu adalah untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara termasuk melalui selenggara dan pembelian aset MINDEF dan KDN serta menaik taraf fasiliti baharu badan beruniform.
Anwar turut mengumumkan peningkatkan peruntukan untuk Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu kepada RM46.5 bilion bagi memastikan capaian perkhidmatan kesihatan yang bermutu, adil dan mampu untuk manfaat warga.
“Tahun hadapan, kerajaan komited menumpukan kepada enam permasalahan utama sektor kesihatan iaitu antaranya mutu prasarana kesihatan awam ditingkatkan; isu kesesakan di hospital awam dileraikan; ikhtiar menangani isu kenaikan inflasi perubatan; dan cakna isu doktor kontrak dan kebajikan petugas kesihatan,” katanya.
Dalam usaha membela nasib pesawah, Anwar berkata Kerajaan MADANI memperkenalkan subsidi pertanian tertinggi dalam sejarah dengan peruntukan RM2.62 bilion pada tahun hadapan.
Dana itu katanya merangkumi pelbagai bentuk bantuan seperti subsidi harga dan tanaman padi, baja, benih serta insentif pengeluaran bagi meningkatkan hasil dan kesejahteraan pesawah.
Terdahulu, dalam hantaran di laman sosial pagi tadi, Anwar menegaskan bahawa belanjawan kali ini bukan sekadar melibatkan angka dan peruntukan, tetapi turut mencerminkan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.
-FN





