
Laporan/foto: Mazlan Bakar (Nabawan)
NABAWAN, 10 Okt (MalaysiaAktif) – Sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Nabawan berlangsung dengan penuh semangat dan kesyukuran, menzahirkan kecintaan umat Islam di kawasan pedalaman terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Ketua Bahagian Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Daerah Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar acara tahunan, tetapi lambang kasih dan penghargaan terhadap perjuangan Rasulullah SAW yang menjadi contoh teladan sepanjang zaman.

Abdul Ghani Mohamed Yassin menyampaikan ucapan perasmian sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Nabawan yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Nabawan.
“Setiap tahun kita berhimpun memperingati sosok yang disanjungi dan dicintai, Baginda Rasulullah SAW, sebagai panduan dan pedoman hidup umat Islam agar terus berpegang teguh kepada ajaran yang dibawa baginda.
“Tema sambutan tahun ini, Membangun Ummah MADANI mengajak umat Islam membentuk masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia, serta berperanan aktif dalam membangunkan kesejahteraan negara dan sejagat berasaskan nilai-nilai Islam,” katanya ketika merasmikan sambutan berkenaan di Dewan Majlis Daerah Nabawan di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat Nabawan agar terus memupuk semangat toleransi, kasih sayang dan kebersamaan, demi mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk di daerah ini.
“Sebagai umat Islam, kita perlu menjaga hubungan baik sesama kita dan juga dengan masyarakat lain, supaya syiar Islam terus dihormati serta keamanan dapat dikekalkan selaras dengan usaha yang digembleng di peringkat pentadbiran kerajaan.
“Kerajaan negeri dan persekutuan sentiasa bekerjasama memastikan nilai-nilai Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW diterapkan dalam dasar pembangunan negeri. Antara usaha tersebut ialah bantuan zakat melalui Baitulmal Sabah yang diuruskan oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), bagi membantu golongan memerlukan serta mengurangkan kadar kemiskinan,” katanya.

Sekolah Kebangsaan Pekan Nabawan diumumkan sebagai pemenang sepanduk terbaik kategori sekolah, dan menerima hadiah daripada Abdul Ghani.
Dalam majlis itu, kontinjen Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Nabawan diumum pemenang pertandingan sepanduk terbaik bagi kategori kementerian, jabatan atau komuniti, manakala Sekolah Kebangsaan Pekan Nabawan memenangi kategori sekolah.
Sambutan yang diisi dengan perarakan dan selawat melibatkan pelbagai agensi kerajaan, sekolah serta komuniti setempat itu menggambarkan semangat perpaduan dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW yang terus mekar di hati masyarakat Nabawan.
-RJ-








