
Laporan/foto: Sarah Nur Saad (Perak)
IPOH, 11 Okt (MalaysiaAktif) – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan seramai 5.2 juta rakyat Malaysia akan menyertai sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2025 di peringkat seluruh negara.

Ketibaan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad disambut meriah oleh peserta HSN peringkat kebangsaan 2025
Sambutan HSN Peringkat Kebangsaan 2025 buat pertama kalinya dianjurkan di luar Lembah Klang iaitu di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, di sini.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Kementerian Belia dan Sukan (UKK KBS), pemilihan tempat kali ini bertujuan memperluaskan dan merakyatkan budaya sukan dalam masyarakat.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam itu, bakal menampilkan pelbagai aktiviti menarik untuk penglibatan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur.
Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata kerajaan negeri berazam untuk terus memperkukuh inisiatif dan dasar dalam bidang sukan.
“Saya menzahirkan tekad kerajaan negeri untuk terus memperkukuh dasar dan inisiatif sukan, agar Perak kekal melahirkan atlet yang cemerlang serta rakyat yang sihat dan sejahtera.

Menteri Belia dan Sukan turut hadir dan beramah mesra dengan peserta HSN Peringkat Kebangsaan 2025
“Kita mahu supaya pasukan Perak Bison terus hebat dan cemerlang. Kita juga mahu melihat kebangkitan Perak dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 diteruskan dengan lebih gagah lagi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian, pagi ini.
Saarani juga mahu semangat itu turut diteruskan atlet Para SUKMA yang telah membuktikan bahawa tiada batas kepada keupayaan dan kejayaan.
Majlis Perasmian HSN Peringkat Kebangsaan 2025 telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Azura Abidin.
-AA-





