Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Baling Berselawat Semarak Sambutan Maulidul Rasul

By 11 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Amran Mohamad Kamis (Baling)

BALING, 11 Okt (MalaysiaAktif) – Ratusan umat Islam membanjiri Padang Awam Kupang, Baling, kelmarin bagi menyertai program Baling Berselawat sempena Sambutan Maulidul Rasul Peringkat Daerah Baling, yang berlangsung dalam suasana penuh keinsafan dan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ceramah agama yang disampaikan oleh Sheikh Aminuddin

Program anjuran bersama pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam, pelajar dan penduduk sekitar daerah ini.

Antara pengisian utama program ialah solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah, diikuti bacaan selawat dan qasidah, serta tausiyah dan ceramah Maulidul Rasul yang disampaikan oleh Sheikh Aminuddin Abd Rahim, penceramah jemputan yang berpengalaman luas dalam bidang dakwah.

Dalam ceramahnya, Sheikh Aminuddin menekankan pentingnya umat Islam menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan utama dalam kehidupan seharian, khususnya dalam mendepani cabaran dunia moden.

Antara hadirin yang hadir

“Selawat bukan sekadar bacaan, tetapi lambang cinta dan rindu umat kepada Baginda SAW. Apabila cinta itu hidup, maka sunnahnya akan diikuti dan perjuangannya akan diteruskan,” jelas beliau.

Suasana majlis bertambah syahdu apabila ribuan hadirin bergema berselawat secara serentak, menghidupkan malam dengan alunan puji-pujian kepada Rasulullah SAW.

Penganjuran Baling Berselawat bukan sekadar acara keagamaan, tetapi juga selari dengan usaha memperkukuh nilai spiritual dan kesejahteraan insan sebagaimana digariskan dalam kerangka Malaysia MADANI, yang menekankan pembentukan masyarakat berakhlak, penyayang dan sejahtera.

-AA-

Tinggalkan komen anda