Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Belanjawan 2026 Terus Ringankan Beban Hidup Rakyat

By 11 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)

ALOR SETAR, 11 Okt (MalaysiaAktif) – Pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam disambut positif oleh rakyat yang menyifatkan langkah-langkah yang diumumkan kerajaan mampu membantu meringankan beban hidup rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Antara penjawat awam yang ditemui.

Penjawat awam, Marzuki Muhammad, 39, berkata beliau bersyukur apabila kerajaan mengumumkan bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam diteruskan, sekali gus membantu meringankan perbelanjaan menjelang musim perayaan.

“Dalam keadaan ekonomi yang masih mencabar, bantuan seperti ini amat bermakna. Ia menunjukkan kerajaan masih prihatin terhadap keperluan penjawat awam dan keluarga kami,” katanya ketika ditemui, Malaysia Aktif hari ini.

Sementara itu, peniaga kecil, Wan Muhammad Mursaleen Jamil, 34, pula melihat Belanjawan 2026 sebagai peluang baharu untuk mengembangkan perniagaan melalui kemudahan pinjaman yang lebih mudah diakses serta kadar faedah rendah.

“Langkah kerajaan mempermudah proses pinjaman perniagaan amat membantu kami yang baru bertapak. Ia memberi keyakinan untuk terus maju tanpa dibebani tekanan kewangan,” jelasnya.

Beliau turut menyambut baik pelbagai inisiatif sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang dilihat mampu merancakkan semula ekonomi tempatan, terutamanya di luar bandar.

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen kerajaan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara dengan menyeimbangkan aspek ekonomi, kebajikan sosial dan pembangunan keusahawanan tempatan.

-RI

Tinggalkan komen anda