
Laporan/foto: Muhammad Fakhri Md Nor (Manjung)
MANJUNG, 12 Okt (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Manjung berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 900 peserta di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini, semalam.
Angka itu mencerminkan sambutan luar biasa masyarakat setempat terhadap usaha membudayakan sukan sebagai gaya hidup sihat kerana melebihi jangkaan awal pengunjung iaitu hanya 500 peserta.

Pegawai Belia dan Sukan Manjung Azlan Hussin ketika ditemuramah semalam
“Penganjuran acara sukan serentak seluruh negara ini berperanan membudayakan sukan serta mengharapkan orang ramai dapat mengamalkan cara hidup sihat,” kata Pegawai Belia dan Sukan Daerah Manjung Azlan Hussin ketika menyampaikan ucapannya.
Program anjuran bersama antara Pejabat Belia dan Sukan Daerah Manjung, Majlis Belia Daerah Manjung dan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung itu turut menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti senamrobik, larian santai dan gerai jualan.
Majlis perasmian disempurnakan Ketua Polis Daerah Manjung Hasbullah Abdul Rahman yang turut menekankan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Semangat kebersamaan orang ramai mencerminkan perpaduan rakyat di Daerah Manjung. Ia satu Gerakan Nasional untuk menggalakkan rakyat untuk sentiasa bersukan dan sentiasa menjadikan sukan sebagai gaya hidup,” ujarnya.
-AA-





