Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Peruntukan RM40 Juta untuk Rakan Muda Beri Manfaat Besar kepada Belia

By 13 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Facebook Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah (Kedah)

ALOR SETAR, 13 Okt (MalaysiaAktif) – Peningkatan peruntukan program Rakan Muda kepada RM40 juta dalam Belanjawan 2026 diyakini akan memberi manfaat besar kepada golongan belia di seluruh negara, kata Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu.

Ucapan perasmian oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau berkata langkah kerajaan itu mencerminkan komitmen tinggi terhadap pembangunan belia, khususnya dalam menyediakan lebih banyak peluang penyertaan dan pembiayaan aktiviti bermanfaat di peringkat akar umbi.

“Kami berharap dana ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh belia di seluruh negara, khususnya di Kedah. Selain itu, terdapat juga geran padanan sukan dan dana sukan komuniti masing-masing berjumlah RM50 juta dan RM20 juta yang boleh dimohon. Kami akan melaksanakan sesi libat urus lanjut pada bulan Disember nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2025 peringkat negeri Kedah, di sini kelmarin, yang menyaksikan ribuan rakyat pelbagai peringkat umur hadir memeriahkan pelbagai aktiviti sukan dan kesihatan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa had umur belia akan diselaraskan kepada 15 hingga 30 tahun bermula tahun hadapan bagi memastikan dasar belia negara kekal relevan dengan keperluan semasa.

Gimik perasmian sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kedah.

“Terima kasih kepada rakyat Kedah, Jawatankuasa Penganjur Hari Sukan Negara dan Kerajaan Negeri Kedah atas sokongan yang begitu padu. Inilah semangat yang kita ingin lihat di seluruh Malaysia,” katanya.

Dengan sokongan berterusan kerajaan dan penyertaan aktif masyarakat, beliau yakin pembangunan belia dan sukan negara akan terus diperkukuh, selaras dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan dan masyarakatnya kekal aktif serta cergas sepanjang hayat.

-RI

Tinggalkan komen anda