
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)
PEKAN, 13 Okt (MalaysiaAktif) – Yayasan Al-Madiniah dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru membantu membaiki sebuah rumah melalui Program Gotong-Royong Baik Pulih Rumah Mangsa Bencana, di sini semalam.

Ahmad Rahimi meninjau keadaan dalam rumah penerima bantuan.
Pengerusi Yayasan Al-Madaniah Datuk Ahmad Rahimi Abdul Samad berkata Yayasan Al-Madaniah membantu sekadar yang termampu demi kebaikan masyarakat.
“Inisiatif seperti ini bukan sekadar kerja membaik pulih kediaman, tetapi satu bentuk amal kebajikan yang menghidupkan ajaran Islam tentang kasih sayang dan tolong-menolong dalam masyarakat,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif semalam.
Ujarnya lagi, program yang disertai oleh pelbagai pihak itu bukan hanya soal kerja membaiki bumbung dan dinding rumah, sebaliknya turut memperlihatkan semangat kebersamaan antara masyarakat setempat dalam membantu mereka yang ditimpa musibah.

Pengerusi Yayasan Al-Madaniah Datuk Ahmad Rahimi (tengah baju biru).
Penerima bantuan, Rahasnorhidayah Rahmat, 36, menzahirkan rasa syukur atas sumbangan itu.
“Saya amat terharu dengan kehadiran ramai sukarelawan dan wakil agensi hari ini, rumah saya rosak teruk selepas hujan lebat tempoh hari, tapi dengan bantuan semua, saya kini boleh kembali tinggal dengan lebih selesa dan hanya Allah SWT yang dapat membalas jasa baik mereka,” katanya.
-RI





