
Laporan/ foto : Helmie Ekni/ Klinik Kesihatan Belawai (Sarawak)
BELAWAI, 19 Okt (MalaysiaAktif) – Dewan Masyarakat Belawai menjadi tumpuan ratusan peserta sempena Kempen Kesihatan Daerah Tanjung Manis 2025 anjuran Klinik Kesihatan Belawai semalam.
Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penyusuan susu ibu, penjagaan kesihatan dan promosi gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk setempat.
Kempen dimulakan dengan acara utama Walkathon: Langkah Bersama Sokong Penyusuan sejauh tiga kilometer bermula seawal jam 7 pagi diikuti pelbagai aktiviti sampingan bermula jam 8 pagi.

Peserta Walkathon Kempen Kesihatan berkumpul di hadapan Dewan Masyarakat Kampung Belawai sebelum acara bermula.
Antara pengisian menarik termasuk ceramah kesihatan, kuiz kesihatan, derma darah, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran kesihatan, cabutan bertuah dan kaunter MySalam berkaitan skim perlindungan takaful kesihatan percuma oleh kerajaan.
Dana bagi menjayakan kempen ini disumbangkan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang dan Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abd Wahab manakala sumbangan hadiah pula disediakan Lepahjaya Plantation Sdn Bhd.
Majlis penangguhan rasmi disempurnakan Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah yang mewakili ADUN Kuala Rajang dan dalam ucapannya, beliau menyeru masyarakat agar mengamalkan gaya hidup sihat sebagai langkah pencegahan penyakit.
“Mencegah lebih baik daripada merawat iaitu makan secara sihat, bersenam secara berkala, elakkan merokok dan lakukan saringan kesihatan secara berkala,” katanya.

Perkhidmatan kaunter MySalam berkaitan skim perlindungan takaful kesihatan percuma kerajaan antara pengisian program yang menjadi tumpuan peserta.
Beberapa peserta yang ditemui turut menyambut baik penganjuran program ini kerana menekankan pelbagai aspek penting dalam penjagaan kesihatan.
“Program ini bagus kerana bukan sahaja menyokong penyusuan susu ibu tetapi turut melibatkan ceramah untuk warga emas, derma darah dan saringan kesihatan malah saya juga berharap penyertaan walkathon dibuka kepada semua peringkat umur,” ujar Fatin Shafira, 34, dari Belawai.
Bagi peserta yang hanya ingin dikenali sebagai Jelipah, 41, dari Sibu, beliau berkata pengisian program ini amat bermanfaat kerana memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat tentang kanser payudara dan kanser serviks.
“Kempen ini memberi peluang kepada masyarakat bukan sahaja untuk saringan kesihatan tetapi juga mendedahkan kami kepada maklumat mengenai penyakit berisiko seperti kanser,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd Exrull, 29, dan Jefri Abdillah, 47, dari Belawai mencadangkan kempen kesihatan ini dijadikan acara tahunan dan diperluaskan penyertaannya agar lebih ramai dapat mengambil bahagian.
Kempen Kesihatan Daerah Tanjung Manis 2025 membuktikan bahawa pendekatan penjagaan kesihatan berasaskan komuniti mampu memberi impak positif kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membudayakan amalan hidup sihat di seluruh negara.
-RJ-






