
Laporan/ foto : Thian Ling Moi (Sarawak)
SERIAN, 21 Okt (MalaysiaAktif) – Sarawak sememangnya terkenal dengan pelbagai jenis makanan tradisional yang mencerminkan budaya dan warisan setiap kaum dan ia dikongsi oleh semua kaum sebagai juadah bersama.
Di Serian, kelupis merupakan antara hidangan kegemaran seisi keluarga dan juga antara makanan tradisional yang digemari masyarakat kerana keenakkan rasanya dan cara penyediaannya yang tidak terlalu sukar.

Kelupis yang telah dimasak biasanya dikukus selama hampir setengah jam atau lebih, bergantung kepada jumlah kelupis di dalam bekas.
Bahan utama dalam pembuatan kelupis ialah beras pulut, garam secukup rasa dan santan kelapa, semuanya boleh diperoleh daripada kelapa tua yang diparut ataupun menggunakan pes santan segera sahaja.
Silun Bawin, 67, sering membuat kelupis yang menjadi kegemaran keluarganya, terutamanya pada musim perayaan Gawai dan Krismas tetapi beliau juga menyediakan juadah itu jika berkelapangan.
“Ramai yang menyediakan kelupis sebagai hidangan wajib di musim perayaaan kerana statusnya sebagai antara makanan tradisional tetapi saya perhatikan kebelakangan ini, ramai juga yang menyediakan kelupis bila-bila masa sahaja,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.
Menurut Silun lagi, untuk menyediakan kelupis, kebiasaannya satu kilogram beras pulut yang mampu menghasilkan kira-kira 35 bungkus digunakan dan langkah pertama ialah mencuci beras pulut sehingga bersih sebelum dicampurkan dengan santan dan garam lalu dikacau sehingga adunan menjadi separuh masak.

Silun sedang membungkus beras yang telah dimasak separuh, kemudian mengukusnya semula sehingga betul-betul masak untuk menghasilkan kelupis.
Adunan separuh masak tadi kemudiannya dibungkus menggunakan daun palas atau daun nyirik sebelum dikukus sehingga masak sepenuhnya yang mana tempoh mengukus itu bergantung pada jumlah kelupis di dalam bekas pengukus.
Menantu Silun, Thommyson Jeveni, 57, yang juga menggemari kelupis berkata ibu mertuanya memiliki kemahiran tinggi dalam pembuatan makanan tradisional itu dan telah sekian lama berkecimpung menyediakannya.
Menurutnya keunikan dan keenakan kelupis buatan ibu mertuanya mungkin terletak kepada penggunaan beras pulut yang ditanam sendiri, adunan rasa yang seimbang dan saiznya yang agak besar berbanding kelupis dari bahagian utara Sarawak.
“Kelupis buatan ibu mertua saya bukan sekadar makanan malah merupakan warisan keenakkan yang harus dipelajari anak dan cucu beliau.

Beras yang telah dimasak separuh dibungkus, kemudiannya dikukus semula sehingga betul-betul masak.
“Apabila dinikmati panas-panas bersama rendang atau kari, setiap suapan membangkitkan rasa kasih sayang yang tersirat dalam setiap gulungan,” katanya lagi.
Begitulah kelupis bukan sekadar makanan biasa tetapi lambang kasih sayang, perpaduan dan tradisi yang perlu diwarisi oleh rata-rata masyarakat di Sarawak ini dan tidak hairanlah kelupis juga menjadi kegemaran keluarga Silun dan Thommyson yang bertekad untuk terus menjaga serta mengekalkan tradisi tersebut.
Seperti dikongsikan Thommyson, di dalam setiap kelupis tersimpan kehangatan dan kasih sayang yang terjalin daripada tangan seorang ibu, isteri, ibu mertua dan nenek apatah lagi tanpa kemahiran yang diwarisi ini, mungkin tradisi berharga itu akan hilang ditelan masa.
-RJ-





