
Laporan/foto: Marshita Othman (Kerian)
SUNGAI PROTAN, 23 Okt (MalaysiaAktif) – Seramai 60 pemimpin masyarakat terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Daerah Kerian menyertai Kursus Jati Diri dan Kepimpinan Pemimpin Komuniti MADANI bagi meningkatkan keupayaan dan kecekapan dalam menjalankan tanggungjawab.
Kursus berkenaan bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta agar lebih berkaliber dalam melaksanakan tugasan seharian sebagai pemimpin komuniti.
Peserta turut diberi latihan praktikal dan peluang bercakap di hadapan khalayak bagi mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari dalam kursus tersebut.

Para peserta program Kursus Jati Diri dan Kepimpinan Pemimpin.
Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak Mohd Noor Dawoo ketika merasmikan Majlis Penutupan kursus tersebut di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Protan, di sini kelmarin, berharap agar kursus berkenaan dapat memberi manfaat dan menjadikan ahli serta kepimpinan JPKK Daerah Kerian lebih mantap dan berkualiti.
Peserta kursus, Ketua Kampung Kampung Tebok Dolah Mohd Arshad Sabri berkata komunikasi bersemuka penting bagi setiap pemimpin dalam membantu menerangkan maklumat kepada rakyat.
“Ia bantu kami sampaikan maklumat benar selain daripada maklumat yang mudah didapati secara terus melalui media sosial seperti TikTok,” katanya.

Penyampaian sijil penyertaan kepada peserta kursus.
Dolah turut berharap agar kursus tersebut dijadikan acara tahunan bagi mempelajari kemahiran komunikasi dengan lebih baik.
Sepanjang kursus anjuran Pejabat Penghulu Mukim Selinsing dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Kerian itu peserta didedahkan pelbagai modul dan sesi pembelajaran yang padat termasuk Komunikasi Berkesan dan Pengucapan Awam oleh Pegawai Penerangan Daerah Kerian Marshita Othman.
Turut hadir Penghulu Mukim Selinsing Mat Kasa @ Mohamad Kasa Arsyad.
-RI





