Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Sultan Kedah Titah Gunakan Ilmu untuk Bina Masyarakat Berakhlak dan Berdaya Saing

By 24 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Facebook Warta Kedah (Kedah)

ALOR SETAR, 24 Okt (MalaysiaAktif) – Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, bertitah agar ilmu yang diperoleh digunakan sebagai landasan membina masyarakat yang berakhlak mulia, maju dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa kini.

Keberangkatan tiba Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bersama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha.

Baginda bertitah demikian sempena Majlis Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keat Hwa kali ke-55 di Dewan Dato’ Teoh Boon Beng, di sini semalam.

Titah Baginda kejayaan pelajar tidak datang dengan mudah, sebaliknya merupakan hasil usaha gigih, dedikasi para guru, serta sokongan padu ibu bapa dan alumni sekolah yang sentiasa komited terhadap pembangunan akademik dan sahsiah pelajar.

“Gunakanlah ilmu untuk kebaikan dan jangan melupakan akar budaya serta nilai agama yang menjadi tunjang bangsa. Ilmu tanpa akhlak akan membawa kepada kerosakan masyarakat,” titah Baginda sambil menyeru pelajar agar terus berpegang pada disiplin, rasa hormat dan semangat cinta ilmu.

Majlis ini turut diserikan dengan pelbagai persembahan.

Sultan Sallehuddin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pelajar yang menerima anugerah atas kecemerlangan masing-masing, dan mengingatkan agar kejayaan dijadikan pemangkin untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan hidup.

“Kepada yang belum berjaya, jangan berputus asa. Jadikan kegagalan sebagai dorongan untuk memperbaiki diri dan terus berusaha,” titah Baginda.

Dalam majlis berkenaan, kerajaan negeri Kedah turut menyumbang sebanyak RM100 ribu kepada pihak sekolah sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh pencapaian akademik dan pembangunan sahsiah pelajar pada masa hadapan.

-RI

Tinggalkan komen anda