
Laporan/ foto: Asfalila Razak (Sarawak)
DARO, 24 Okt (MalaysiaAktif) – Sebanyak 27 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro menerima sumbangan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah keseluruhan RM205,000 yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr Safiee Ahmad dalam satu majlis di sini, semalam.
Majlis penyampaian geran tersebut bertujuan memperkukuhkan peranan NGO dalam melaksanakan aktiviti pembangunan komuniti termasuk memperluaskan jaringan kerjasama antara kerajaan dan masyarakat setempat.
Dalam majlis ringkas itu, Safiee menegaskan bahawa NGO memainkan peranan penting sebagai rakan strategik kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Safiee menyantuni penerima-penerima geran.
Beliau turut berkata sokongan kepada NGO bukan sahaja membantu memperluaskan capaian program kemasyarakatan malah turut meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan memperkukuh jaringan kerjasama antara pelbagai pihak.
“Saya amat menghargai komitmen dan usaha NGO di kawasan Daro yang sentiasa aktif dan prihatin terhadap keperluan masyarakat.
“Diiharapkan geran ini dapat membantu mereka melaksanakan program yang lebih berimpak dan menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, wakil penerima, Seliman Ismail, 56, daripada Kelab Rekreasi dan Kebajikan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Daro melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas sokongan yang diterima.

Seliman Ismail yang merupakan salah seorang penerima geran MRP dari ADUN Daro.
Menurutnya, sumbangan tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan, sosial dan rekreasi yang dirancang.
“Bantuan ini amat bermakna kepada kami kerana ia membuka peluang untuk menganjurkan lebih banyak program melibatkan masyarakat setempat, terutamanya dalam memperkukuh semangat gotong-royong dan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Turut hadir Pegawai Daerah Daro Zul Usup, Pegawai Daerah Matu Hamidah Halpi dan Pegawai Penerangan Daerah Daro Khalid Aini.
-RJ-





