Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Simulasi Pengurusan Bencana Perkukuh Koordinasi dan Kesedaran Masyarakat

By 24 Oktober 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Shafira Mat Hussin

BACHOK, 24 Okt (MalaysiaAktif) – Deruan ombak di Pantai Kemayan menjadi saksi semangat kesiapsiagaan apabila pelbagai agensi keselamatan dan jabatan kerajaan berganding bahu dalam Program Simulasi Pengurusan Bencana dan Pengendalian Bot sempena persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 bagi jajahan Bachok.

Program anjuran Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok ini bukan sekadar latihan teknikal, tetapi lambang kerjasama erat antara agensi kerajaan dan masyarakat dalam mendepani risiko bencana alam yang tidak dijangka.

Ketua Jajahan Bachok merangkap Pengerusi PKOB Jajahan Bachok bergambar bersama jabatan, agensi dan penggerak masyarakat yang terlibat dalam Program Simulasi Pengurusan Bencana dan Pengendalian Bot Bagi Persiapan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 Jajahan Bachok.

Ketua Jajahan Bachok merangkap Ketua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) jajahan Bachok Mohd Zaki Yusoff ketika berucap merasmikan program menegaskan kepentingan koordinasi dan kefahaman bersama antara semua pihak.

“Program simulasi ini bukan sekadar latihan teknikal semata-mata, tetapi platform penting untuk menyelaras kesiapsiagaan dan memperkukuh kerjasama antara agensi di Bachok. Setiap agensi perlu memahami peranan masing-masing, manakala masyarakat juga harus tahu tindakan yang wajar diambil apabila bencana berlaku,” katanya.

Beliau turut menekankan kesiapsiagaan bukan hanya tanggungjawab kerajaan, sebaliknya perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat.

“Kesedaran awal amat penting. Kita mahu masyarakat bertindak sebelum bencana berlaku, bukan selepas musibah melanda. Tindakan awal menyelamatkan nyawa dan memperkukuh komuniti,” jelasnya.

Menurut rekod, pada tahun 2024 jajahan Bachok mencatatkan 7,335 mangsa banjir melibatkan 2,233 Ketua Isi Rumah (KIR) yang ditempatkan di 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Justeru, simulasi ini menjadi medan untuk menilai kekuatan logistik, memperkemas pelan tindakan serta memastikan bantuan disalurkan dengan lebih pantas dan berkesan.

Pendekatan ‘Whole of Government, Whole of Society‘ turut diterapkan dalam program ini, menekankan bahawa kesiapsiagaan bencana merupakan tanggungjawab bersama antara agensi dan masyarakat.

Program turut disertai pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pejabat Kesihatan Daerah Bachok, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Pejabat Penerangan Daerah Bachok.

Pihak JKM juga membuka kaunter interaktif dan memberikan penerangan dan pendedahan kepada semua pihak berkenaan aplikasi MYIBJKM sebagai platform pendaftaran awal mangsa bencana.

Setiap agensi memainkan peranan penting dalam memastikan simulasi berjalan lancar bermula daripada operasi pemindahan mangsa, pengendalian bot penyelamat hingga kepada koordinasi keselamatan dan kesihatan di lapangan.

Peserta turut mengikuti sesi taklimat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, Pejabat Kesihatan Daerah, JKM dan JBPM yang memberi pencerahan tentang prosedur kecemasan.

Turut menjadi tarikan ialah Kaunter Kempen Pendaftaran Awal Aplikasi MyIBJKM, yang diwujudkan bagi memberi penerangan kepada penggerak masyarakat untuk disebarluaskan kepada kumpulan berisiko tinggi.

Program ini jelas membuktikan bahawa kesiapsiagaan bencana bukan sekadar persediaan teknikal, tetapi turut berpaksikan semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat Bachok menjelang musim monsun yang bakal tiba.

-RI

Tinggalkan komen anda