Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Johor Komited Pulihara Alam Sekitar, Petronas Taja Projek Penanaman Semula Hutan Bakau Benut

By 24 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Ling Tian Soon (Johor)

MUAR, 24 Okt (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Johor terus komited dalam usaha memelihara alam semula jadi dengan melaksanakan pelbagai inisiatif pemuliharaan hutan, termasuk program penanaman semula kawasan paya bakau yang terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata sebanyak tujuh ekar kawasan paya bakau yang telah kering telah ditanam semula sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Johor di Laman Bakau Parit Kassim, Mukim Parit Jawa, di sini semalam.

Ling Tian Soon menanam pokok Nyireh Batu (Xylocarpus moluccensis) sebagai simbolik sambutan Hari Hutan Antarabangsa.

Menurutnya, usaha berterusan itu merupakan sebahagian daripada komitmen negeri untuk memastikan keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam sekitar.

“Johor masih mempunyai lebih daripada 440,000 ekar kawasan hutan simpan, iaitu 23.1 peratus daripada keluasan tanah negeri.

“Menjelang tahun 2030, sasaran kita ialah untuk meningkatkan kawasan hutan kepada 30 peratus bagi memastikan alam semula jadi Johor terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ling turut memaklumkan Petronas menaja projek penanaman semula Hutan Bakau Hutan Santi di Benut melibatkan penanaman sejuta pokok bakau dalam tempoh empat tahun.

“Projek ini bukan sahaja membantu memulihkan ekosistem semula jadi, tetapi juga memperkukuh fungsi kawasan bakau sebagai benteng semula jadi daripada hakisan pantai serta habitat penting kepada pelbagai spesies hidupan liar,” katanya.

Kerajaan negeri Johor juga katanya memperuntukkan RM3 juta kepada Jabatan Perhutanan Negeri bagi melaksanakan 14 projek pemuliharaan hutan tahun ini, termasuk penanaman semula, penguatkuasaan, pembinaan pagar dan laluan pejalan kaki.

-RI

Tinggalkan komen anda