Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Pulut Jadi Karya Seni, IKBN Kemasik Juara Gabungan Tradisi, Moden di Jubli Abad SK Chukai

By 29 Oktober 2025November 1st, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Ali Imran/ Ahmad Nadhir

KEMAMAN, 29 Okt (MalaysiaAktif) – Pulut yang sering menjadi sajian tradisi hidangan kenduri masyarakat Melayu, boleh bertukar wajah menjadi karya seni moden yang memukau.

Itulah yang dibuktikan oleh Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Menghias Pulut sempena Sambutan Jubli Abad Sekolah Kebangsaan Chukai 2025 yang berlangsung penuh meriah di Arena Square Kemaman, di sini semalam.

Juara Pertandingan Menghias Pulut Jubli Abad SK Chukai 2025, Muhammad Firdaus Abu Hassan (kiri) dan Nurkhairul Ikhwan Amran (Kanan)

Mengangkat tema “Gabungan Tradisi dan Moden”, pertandingan anjuran bersama Usahawanita Daerah Kemaman itu bukan sekadar menjadi pesta makanan, tetapi turut menonjolkan bagaimana warisan nenek moyang dapat diberi nafas baharu tanpa menjejaskan keaslian dan jati diri bangsa.

Pasangan tenaga pengajar IKBN, Muhammad Firdaus Abu Hasan dan Nurkhairul Ikhwan Amran mencuri tumpuan juri dengan ciptaan mereka yang dinamakan Pulut Tepak Seri.

“Kami mahu buktikan bahawa kemahiran tradisional masih relevan dan bernilai tinggi. Bagi kami, memasak bukan sekadar aktiviti harian, ia satu bentuk seni dan warisan yang perlu dijaga,” ujar Muhammad Firdaus sambil menambah mereka mengambil masa hampir sebulan untuk berlatih dan melakukan penyelidikan sebelum menghasilkan karya tersebut.

Pemenang bersama hasil kreatif Pulut Tepak Seri dalam Pertandingan Menghias Pulut sempena Sambutan Jubli Abad SK Chukai 2025

Bagi Nurkhairul Ikhwan pula, rahsia kejayaan mereka terletak pada penggunaan bahan-bahan tempatan Terengganu.

“Kami ingin tonjolkan keindahan bahan tempatan dari warna, rasa hingga teksturnya. Pulut mungkin nampak sederhana, tetapi dengan sentuhan kreatif, ia boleh menjadi karya seni bernilai tinggi dan layak ke pentas antarabangsa,” katanya.

Penganjur turut menegaskan bahawa pertandingan ini bukan sekadar medan nostalgia, tetapi platform untuk generasi muda bereksperimen dan berinovasi dalam dunia kulinari.

Acara ini turut menjadi simbol pelestarian warisan budaya tidak ketara yang semakin dihargai semula oleh masyarakat moden.

Ia membuktikan bahawa keindahan kulinari Melayu bukan hanya terletak pada rasa, tetapi juga pada cerita, simbol dan kreativiti yang diwarisi turun-temurun.

-AA-

Tinggalkan komen anda