Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Sembang Santai Anak Muda, Futsal Eratkan Ukhuwah Belia

By 29 Oktober 2025November 1st, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norhayati Shamsu Anuar/Amirul Faisal Rastan

GUA MUSANG, 29 Okt (MalaysiaAktif) – Program Sembang Santai Anak Muda berjaya mengukuhkan ukhuwah belia setempat melalui aktiviti futsal dan dialog santai yang berlangsung di Gelanggang Futsal Kampung Chalil, di sini kelmarin.

Masyarakat yang turut hadir ke program.

Dianjurkan oleh Komuniti MADANI Sungai Bayu dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Gua Musang dan Persatuan Belia Kampung Chalil, program itu menarik penyertaan lebih sembilan pasukan futsal dari sekitar daerah ini.

Selain aktiviti sukan, program turut menjadi platform perkongsian maklumat kerajaan, isu semasa dan peranan belia dalam pembinaan masyarakat MADANI, dengan topik seperti kesedaran sivik, keselamatan siber, peluang pekerjaan dan cabaran generasi digital.

Menurut Ketua Komuniti MADANI Sungai Bayu, Mimi Hafizah Mohamad, program itu bertujuan memberi ruang kepada anak muda meluahkan pandangan sambil mengeratkan hubungan sesama belia.

“Kita mahu program ini bukan sekadar sesi sembang, tetapi juga platform untuk anak muda bersatu, berkongsi pandangan dan menunjukkan semangat kesukanan,” katanya.

Sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Pertandingan futsal menjadi tumpuan utama apabila Belia Chalil E FC muncul juara selepas menewaskan Belia Chalil D FC dengan jaringan 3–1 dalam perlawanan akhir.

Peserta, Mohd Kamil Mat Jali, 29, berkata program itu bukan sahaja menyeronokkan, malah mengukuhkan silaturahim antara belia kampung.

“Sambil bersukan, kami juga dapat menyertai sesi sembang santai dan bertukar pendapat dengan pihak jabatan. Program sebegini memang patut diteruskan,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda