
Laporan/ foto: Nur Arinnica Arif (Kluang)
KLUANG, 30 Okt (MalaysiaAktif) – Konflik antara manusia dengan gajah kini menjadi isu serius di daerah Kluang apabila sebanyak 105 aduan berkaitan kehadiran haiwan itu direkodkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Ling Tian Soon berkata, 21 pusat food bank akan ditubuhkan bagi membantu komuniti terjejas akibat konflik hidupan liar
Bagi menangani isu tersebut, Program Komuniti Perlindungan Hidupan Liar (KPHL) Peringkat Negeri Johor Tahun 2025 dilaksanakan dengan penglibatan 15 kampung sekitar daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon, berkata Kluang merupakan daerah pertama di Johor dan juga di peringkat kebangsaan menubuhkan KPHL sebagai usaha memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dalam menangani konflik gajah.
“Dengan adanya KPHL ini, kerajaan berharap tahap kesedaran dan keupayaan masyarakat menghadapi kehadiran gajah dapat dipertingkatkan sekali gus mengurangkan kerosakan yang mungkin berlaku,” katanya semasa merasmikan program berkenaan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini hari ini.

Akhsya Atirah Mohamad Amran dari Wildlife Conservation Society Malaysia menunjukkan teknik Pagar Siren yang kini digunakan bagi menangani kehadiran gajah
Beliau berkata, sebelum ini Perhilitan hanya bergantung kepada bajet kerajaan pusat, namun tahun ini kerajaan negeri Johor turut menyalurkan peruntukan khas melalui Pejabat Daerah Kluang sebagai tanda komitmen menyelesaikan isu berkenaan.
Selain itu, sebanyak 21 pusat food bank akan diwujudkan bagi membantu komuniti setempat yang terjejas akibat konflik hidupan liar.
Sementara itu, wakil Wildlife Conservation Society (WCS) Malaysia Akhsya Atirah Mohamad Amran, memaklumkan teknik pagar siren kini digunakan di 12 kampung termasuk Kampung Tanah Runtuh sebagai langkah awal mengesan kehadiran gajah.
“Kaedah ini lebih murah dan mudah diselenggara berbanding penggunaan pagar elektrik.
“Setakat ini, 20 ekor gajah liar telah berjaya dipindahkan dari daerah Kluang ke habitat lebih sesuai melalui operasi Perhilitan dengan kerjasama agensi berkaitan,“ jelasnya.
Turut hadir, Pengarah Perhilitan Negeri Johor Aminuddin Jamin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Norliyati Md Nor, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah.
-AA-





