
Laporan/foto: Rahimah Rafiai/Norfaizah Adnan
KUALA LUMPUR, 31 Okt (MalaysiaAktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyerahkan peralatan perubatan berteknologi tinggi kepada Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) di bawah inisiatif Centre of Excellence (CoE) atau pusat kecemerlangan bagi memperkukuh bidang Perubatan Rehabilitasi di negara ini.

Dr. Dzulkefly Ahmad ketika merasmikan peralatan perubatan berteknologi tinggi di HRC.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam ucapannya berkata CoE adalah agenda utama Reformasi Sistem Kesihatan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan setaraf piawaian antarabangsa.
“Dengan kepakaran dan semangat pasukan sedia ada, HRC bakal muncul sebagai CoE Nasional dalam bidang Rehabilitasi dan seterusnya menjadi rujukan serantau Asia Tenggara,” katanya, di sini.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan CoE tidak hanya bergantung kepada kelengkapan moden, tetapi juga kepada kepakaran tenaga kerja, latihan berterusan serta penyelidikan dan inovasi.

Antara yang hadir di majlis tersebut.
HRC katanya telah membuktikan keupayaan sebagai fasiliti terbaik dalam bidang rehabilitasi dan pembangunan tenaga profesional.
Beliau juga yakin peralatan baharu itu akan memperkukuh keupayaan HRC dalam menawarkan perkhidmatan pemulihan berkualiti, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan komitmen KKM terhadap sistem kesihatan yang mampan dan inklusif.
Sebanyak 21 buah hospital dan institusi KKM dikenal pasti berpotensi diiktiraf sebagai CoE dengan peruntukan RM100 juta bagi tahun ini dan tahun hadapan.
turut hadir pegawai kanan KKM, warga HRC dan wakil Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
-RI





