
Laporan/ foto: Radiah Rahim/ Sh. Nurrul (Pahang)
RAUB, 31 Okt (MalaysiaAktif) – Guru dan murid di Pahang menyambut baik usaha kerajaan dalam mempergiatkan Kempen Internet Selamat (KIS) di kalangan murid sekolah.
Wan Natasyah Amirah Wan Mohd Roslan, guru dari Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu menyifatkan kempen ini suatu usaha yang sangat bermanfaat bukan sahaja kepada murid, tetap juga kepada masyarakat.

Fahmi beramah mesra dengan pelajar semasa ketibaannya
“Melalui kempen ini, kami lebih memahami bahawa internet perlu digunakan secara berhemah dan bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Perasmian Kempen Internet Selamat Peringkat Negeri Pahang, di sini, semalam.
Sementara itu bagi Khadijah Aina Shaari, 11, murid SK Bukit Piatu berkata program ini memberi banyak ilmu baharu untuknya.
“Saya belajar agar jangan kongsi maklumat peribadi dan jangan main media sosial kalau belum cukup umur,” katanya.

Cikgu Wan Natasya bersama pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu Bentong
Rakannya Nur Khyra Afeena Muhamad Hairul, 11, turut bersetuju bahawa kempen ini mengingatkan pelajar agar lebih berhati-hati semasa melayari internet.
Program anjuran bersama Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan masyarakat mengenai kepentingan menggunakan internet secara berhemah dan selamat.
Majlis Perasmian KIS peringkat negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan Raub Indah disempurnakan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
-AA-





