Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Kenderaan Singapura Perlu Bayar Saman VEP Sebelum Pulang ke Singapura

By 1 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook JPJ Malaysia (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 1 Nov (MalaysiaAktif) – Pemilik atau pemandu kenderaan asing khususnya dari Singapura yang gagal memiliki atau mengaktifkan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) tidak dibenar keluar dari Malaysia sekiranya masih belum membayar saman berkuat kuasa 15 Nov ini.

Aedy Fadly meninjau Operasi Khas Penguatkuasaan VEP di susur keluar Bangunan Sultan Iskandar, malam tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia Datuk Aedy Fadly Ramli berkata tindakan penguatkuasaan sepenuhnya itu membabitkan kenderaan persendirian individu serta kenderaan persendirian milik syarikat yang tiada VEP, tamat tempoh atau masih berstatus pradaftar.

“Tindakan saman akan dibuat dan (mereka) perlu membayar saman serta mendaftar VEP sebelum keluar dari Malaysia sekali gus dapat mengelakkan sebarang masalah di pintu keluar sempadan Malaysia-Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa meninjau Operasi Khas Penguatkuasaan VEP di susur keluar Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini semalam.

Warga Singapura boleh membayar saman di kaunter pejabat JPJ, Kaunter Mobile JPJ, kaunter pendaftaran VEP di Danga Bay dan secara atas talian melalui aplikasi Myeg.

Beliau berkata penguatkuasaan sebelum ini menyaksikan pemandu atau pemilik kenderaan asing hanya dikenakan notis saman dan notis peringatan sahaja namun kini sudah tiba masanya untuk pelaksanakan penguatkuasaan penuh kepada mereka yang enggan membayar saman atas kesalahan yang dilakukan di Malaysia.

“Kenderaan Singapura yang tidak mempunyai VEP dan ditahan di mana-mana lokasi operasi di Malaysia akan dikenakan tindakan juga kerana kita telah meluaskan operasi ini ke seluruh negara dan bukan hanya tertumpu di Johor sahaja sebelum ini,” katanya.

Turut hadir Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Johor Zulkarnain Yasin.

-RI

Tinggalkan komen anda