
Laporan/ foto: Radiah Rahim/ Sh. Nurrul (Pahang)
RAUB, 2 Nov (MalaysiaAktif) – Internet bukan musuh, tetapi alat yang perlu digunakan dengan ilmu dan tanggungjawab, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Datuk Fahmi Fadzil menjawab pertanyaan media ketika sidang akhbar
Beliau menegaskan bahawa usaha mendidik masyarakat, khususnya golongan muda, tentang keselamatan digital perlu bermula dari peringkat sekolah bagi memastikan mereka mampu mengelak daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian, buli siber dan penyebaran maklumat palsu.
“Kita mahu anak-anak Malaysia menjadi pengguna internet yang berhemah, bukan hanya pandai menggunakan teknologi, tetapi juga tahu membezakan antara fakta dan fitnah, kebaikan dan keburukan di dunia digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Internet Selamat (KIS) peringkat negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan (SK) Raub Indah, di sini Khamis lepas.
Fahmi berkata Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memperkukuh inisiatif literasi digital termasuk memperluas kempen Klik Dengan Bijak dan CyberSAFE ke sekolah serta komuniti luar bandar.
“Program seperti hari ini bukan sekadar kempen biasa. Ia platform mendidik dan membentuk sikap bertanggungjawab dalam penggunaan internet supaya kita semua dapat mewujudkan ruang siber yang selamat dan positif,” katanya.

Beramah mesra dengan peserta direruai yang dilawatinya
Fahmi turut menekankan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau aktiviti dalam talian anak-anak serta menjadi contoh dalam penggunaan media sosial secara beretika.
“Peranan keluarga sangat besar. Kawalan ibu bapa bukan bermaksud menyekat, tetapi membimbing agar anak-anak tahu batas dan risiko dunia digital,” katanya.
Beliau turut menggalakkan murid-murid supaya menggunakan internet untuk tujuan pembelajaran, kreativiti dan inovasi, bukan semata-mata hiburan.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Konmunikasi dan Multimedia, Belia Sukan dan Badan-badan Bukan negeri Pahang Fadzli Mohamad Kamal.
Kempen tersebut menjadi sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam membina masyarakat digital yang berpengetahuan, selamat dan beretika sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
-AA-





