Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Soccer Robot Tarik Perhatian Pelajar

By 2 November 2025November 4th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Radiah Rahim (Pahang)

RAUB, 2 Nov (MalaysiaAktif) – Persembahan Soccer Robot oleh pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menarik tumpuan dan perhatian pelajar sekolah sempena Kempen Internet Selamat (KIS) peringkat negeri Pahang yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Raub Indah, di sini Khamis lalu.

Danish Hakim yang mengetuai pasukan demonstrasi Robot Soccer tersebut

Robot berbentuk pemain bola mini itu mempamerkan aksi tendangan dan kawalan bola yang lincah sekali gus menarik minat murid sekolah rendah terhadap bidang robotik dan teknologi digital.

Danish Hakim Rozaimi, 22, yang mengetuai pasukan demonstrasi tersebut berkata projek berkenaan dibangunkan di bawah inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) melalui Kelab Robotik UIAM.

“Kami mahu tunjuk kepada pelajar bahawa teknologi bukan sekadar untuk hiburan, tetapi boleh digunakan untuk belajar dan mencipta sesuatu yang bermanfaat.

“Soccer Robot ini dibina dengan asas pengaturcaraan mudah supaya pelajar sekolah pun boleh faham dan cuba sendiri,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Tambahnya, projek itu turut mendapat bimbingan penasihat akademik UIAM dan dijalankan dengan kerjasama NADI yang aktif dalam menggerakkan inovasi digital di peringkat akar umbi.

Pelajar berpusu ke reruai setelah selesai sesi taklimat

Demonstrasi interaktif itu turut memberi peluang kepada pelajar untuk mengawal robot menggunakan telefon pintar dan memahami konsep asas kecerdasan buatan (AI) serta Internet of Things (IoT).

Seorang pelajar SK Raub Indah, Muhammad Hazim Azmi, 12, berkata dia teruja melihat robot itu mampu bermain bola seperti manusia.

“Seronok tengok robot boleh gerak sendiri dan ikut arahan. Saya pun nak belajar buat robot bila besar nanti,” katanya.

KIS yang dirasmikan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bertujuan mendidik generasi muda mengenai penggunaan internet secara berhemah dan selamat, seiring dengan kemahiran digital abad ke-21.

Tinggalkan komen anda