Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Pejabat Kecil TPR Limbang Perkukuh Kehadiran AGC di Utara Sarawak

By 2 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Juliani Bolhi/ Mohd Taluka Arsad

LIMBANG, 2 Nov (MalaysiaAktif) – Penubuhan Pejabat Kecil Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Limbang merupakan langkah strategik Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC) dalam memperkukuhkan kehadiran institusi perundangan kerajaan di wilayah utara Sarawak sekali gus memastikan urusan pendakwaan dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata pejabat tersebut bukan sekadar pembinaan sebuah bangunan baharu tetapi simbol kehadiran keadilan yang lebih dekat dengan rakyat.

Ucapan perasmian Pembukaan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Limbang oleh  Mohd Dusuki Mokhtar .

“Ia menggambarkan iltizam AGC untuk memastikan keadilan sentiasa terpelihara dan dapat dirasai oleh rakyat di utara Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pejabat Kecil TPR Limbang, di sini semalam.

Katanya penubuhan pejabat itu juga akan mempercepatkan proses pengurusan kes dan kertas siasatan tanpa memerlukan TPR dari daerah lain berulang-alik bagi menjalankan tanggungjawab mereka.

Sebelum ini, pegawai-pegawai TPR terpaksa menumpang ruang bekerja dan berulang-alik dari Miri ke Limbang bagi melaksanakan tugas rasmi.

Namun, dalam keadaan serba terbatas itu, mereka tetap menunaikan amanah dengan penuh dedikasi dan profesionalisme.

“Saya amat menghargai semangat dan kecekalan warga AGC Sarawak yang sentiasa komited dalam memastikan urusan pendakwaan berjalan lancar walaupun berdepan pelbagai kekangan.

“Kewujudan pejabat ini akan memberi kemudahan kepada pegawai serta meningkatkan keberkesanan perkhidmatan Jabatan,” katanya.

Mohd Dusuki Mokhtar menandatangani plak perasmian Pejabat Pendakwa Raya Limbang.

Menurutnya, Pejabat Kecil TPR Limbang akan menjadi pemangkin kepada peningkatan mutu perkhidmatan perundangan, memperkukuh kecekapan, ketelusan dan profesionalisme warga jabatan dalam melaksanakan tanggungjawab menegakkan undang-undang.

Dengan siapnya Pejabat Kecil TPR Limbang itu, AGC terus melangkah maju dalam memperluas perkhidmatan pendakwaan dan memastikan keadilan dapat dicapai dengan lebih dekat kepada rakyat di setiap pelosok negara.

Turut hadir Ketua Bahagian Pendakwaan Datuk Masri Daud dan Pengarah Pendakwaan Negeri Sarawak Aslinda Ahad.

-RJ-

Tinggalkan komen anda