
Laporan/foto: Ashikin Mustafa/Al-Tarmizi Azmi (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 4 Nov (MalaysiaAktif) – Seramai 252 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan esara polis di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar menerima manfaat Inisiatif Bantuan Kasih Johor oleh kerajaan negeri sebagai tanda penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan mereka kepada negara.

Fauziah ketika berucap di Majlis Penyerahan Bantuan Kasih Johor kepada veteran ATM dan pesara polis.
Ahli Dewan Negeri (ADUN) Penawar Fauziah Misri berkata pelaksanaan program berimpak tinggi itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian.
“Inisiatif ini bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata tetapi simbol kasih dan penghargaan tulus kerajaan negeri terhadap jasa insan-insan luar biasa yang telah banyak berkorban demi keamanan negara serta kesejahteraan rakyat.
“Walaupun jumlahnya kecil berbanding sumbangan mereka, namun nilainya amat besar kerana datang daripada hati rakyat Johor sendiri,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bantuan Kasih Johor DUN Penawar Pesara Tentera dan Pesara Polis, di sini semalam.
Menurut Fauziah setiap penerima memperoleh bantuan tunai sekali beri sebanyak RM200, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM50,400 disalurkan kepada golongan terbabit.

Seramai 252 orang veteran ATM dan pesara polis di DUN Penawar menerima manfaat menerusi inisiatif Bantuan Kasih Johor.
Veteran ATM, Rosli Abdul Aziz, 62, menyifatkan bantuan tersebut sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib golongan bekas anggota keselamatan.
“Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban kewangan kami, malah mencerminkan kepimpinan negeri yang sentiasa mendahulukan rakyat dan berusaha membina Johor yang lebih makmur serta sejahtera,” katanya.
Turut hadir Naib Presiden Persatuan Veteran ATM (PVATM) Negeri Johor Ibrahim Yahya dan Yang Dipertua Persatuan Pesara Polis Diraja Malaysia Omar Hashim.
-RI





