
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook Andrew Chen Kah Eng (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 4 Nov (MalaysiaAktif) — Kementerian Pengangkutan mengumumkan penurunan harga kad perkhidmatan Bas.My daripada harga asal iaitu RM50 kepada RM30 sebulan berkuatkuasa serta-merta.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata keistimewaan itu hanya diberikan kepada negeri yang mempunyai perkhidmatan Bas.My sahaja dan juga kepad awarganegara Malaysia sahaja.

Anthony Loke (tengah) bersama tetamu kehormat turut bergambar bersama kakitangan Bas.My pada majlis berkenaan yang diadakan di perkarangan Sutera Mall, Skudai Johor Bahru, semalam.
“Inisiatif yang diberikan oleh kerajaan pada hari ini bagi mengurangkan beban pengguna dan dapat menjimatkan antara RM200 hingga RM300 dan inisiatif yang dilaksanakan ini bagi menarik minat pengguna baharu bagi menggunakan perkhidmatan Bas.My yang disediakan di beberapa negeri di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bas.My Johor Bahru di sebuah pusat membeli belah, di sini semalam.
“Selain itu, bagi memudahkan pengguna merancang perjalanan, perkhidmatan Bas.My telah memperkenalkan aplikasi ‘Journey Planner’ bagi membolehkan mereka melihat lokasi sebenar bas secara masa nyata dan menyemak laluan dan juga melihat jadual perjalanan Bas.My,” katanya.
Beliau berkata perkhidmatan Bas.My ‘Medic’ juga bakal dilancarkan hujung tahun ini bagi membantu pesakit mobiliti termasuk pengguna kerusi roda ke hospital dan pusat dialisis bagi urusan mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan lain-lain.
-RI





