
Laporan/ foto : Norlia Mili / UNIMAS (Sarawak)
KOTA SAMARAHAN, 4 Nov (MalaysiaAktif) – Kesibukan bekerja dan tanggungjawab sebagai seorang ibu atau isteri tidak menjadi penghalang buat 11 graduan wanita bekerjaya mencapai kejayaan dalam bidang akademik.
Semangat juang yang tinggi itu terbukti melalui kejayaan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) meraikan kohort pertama Program Sarjana Pendidikan (Sains Pembelajaran) di sini, kelmarin.
Pensyarah Kanan dan Penyelaras program Chuah Kee Man berkata program Sarjana Pendidikan (Sains Pembelajaran) selama 12 bulan itu direka khas untuk golongan pendidik, pensyarah atau profesional pendidikan bagi memperkukuhkan kefahaman mereka dalam bidang pembelajaran berasaskan teknologi serta reka bentuk pedagogi abad ke-21.

Chuah Kee Man (empat kiri) dan Dr. Dilah (tengah) ketika majlis minum petang yang meraikan kohort pertama Sarjana Pendidikan (Sains Pembelajaran).
“Program ini menekankan keseimbangan antara teori dan amalan terbaik, dengan memotivasikan peserta untuk meneroka penyelesaian inovatif dalam konteks pembelajaran sebenar,” katanya yang merupakan seorang pakar teknologi kecerdasan buatan (AI) pendidikan.
Sementara itu, Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi UNIMAS Dr Dilah Tuah turut menyampaikan penghargaan dan tahniah kepada semua graduan sulung atas kejayaan mereka.
“Fakulti amat berbangga dengan pencapaian graduan wanita kami yang berjaya menyeimbangkan tanggungjawab kerja, keluarga dan pengajian malah ini juga membuktikan kekuatan semangat serta dedikasi wanita dalam memperkasakan bidang pendidikan,” katanya.
Bagi Penolong Kanan Kurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Mary Kartina Sahari, 49, tugasan diberikan pensyarah sangat membantu dirinya mempraktikan amalan terbaik AI di dalam kelas.

Kartina Sahar mampu mempraktikan amalan terbaik AI di dalam kelas.
“Pensyarah juga amat bertolak ansur dengan keperluan diri saya yang bekerja sepenuh masa sebagai seorang penolong kanan sekolah menengah,” katanya.
Menurut Guru Sains Borneo Internasional School Pung Cheng Hui, 24, pula struktur program berkenaan amat sesuai untuk dirinya yang bekerja sepenuh masa kerana jadual kuliah yang fleksibel dan pensyarah amat memberi bantuan termasuk sokongan secara dalam talian.

Menurut Pung Cheng Hui, struktur program amat sesuai untuk beliau yang bekerja sepenuh masa.
Program Sarjana Pendidikan (Sains Pembelajaran) merupakan sebuah program pendidikan berkreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memfokuskan kepada reka bentuk amalan pengajaran dan persekitaran pembelajaran terbaik.
Uniknya, Program Sains Pembelajaran UNIMAS merupakan satu-satunya program merentas disiplin di Malaysia, seumpamanya yang menggabungkan sains kognitif, teknologi pengajaran dan penyelidikan terkini pendidikan melalui pelbagai teori serta amalan pengajaran terbaik berasaskan bukti saintifik.
-RJ-





