Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Agensi Daerah Kanowit Siap Sedia Hadapi Bencana Banjir

By 6 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Eleannor Bedau Anak Tinggom (Sarawak)

KANOWIT, 6 Nov (Malaysia Aktif) – Agensi-agensi di Kanowit bersedia menghadapi kemungkinan banjir menerusi Program Latihan Tabletop Exercise (TTX) dan Field Training Exercise (FTX) Pengurusan Bencana Banjir anjuran bersama Kelab R&DO Kanowit, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kanowit, serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah dan Machan, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana yang menyempurnakan majlis tersebut berkata kejayaan pelaksanaan program berkenaan membuktikan komitmen padu serta kesungguhan agensi-agensi di peringkat daerah dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi ancaman bencana banjir, khususnya menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL).

Anyi Jana menyempurnakan majlis penutupan Program Latihan Tabletop Exercise (TTX) dan Field Training Exercise (FTX) Pengurusan Bencana Banjir Daerah Kanowit, semalam.

Menurut beliau, latihan tersebut  dilaksanakan bagi memastikan setiap agensi lebih cekap dan yakin dalam melaksanakan peranan masing-masing bermula daripada peringkat amaran awal, operasi menyelamat, sehinggalah ke fasa pemulihan pasca bencana.

Latihan itu juga berfungsi untuk menguji keberkesanan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada serta menilai tahap koordinasi dan kerjasama antara semua agensi terlibat.

Beliau turut mencadangkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melaksanakan program Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) di peringkat daerah Kanowit pada tahun hadapan, khususnya untuk ketua masyarakat dan ketua kaum.

Selain itu, beliau juga menggesa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengadakan sesi pendaftaran MyIBJKM bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi MTL, manakala Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) digalakkan untuk terus memperluas usaha hebahan maklumat kepada orang awam.

Anyi Jana menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Jackline August; Sekretariat JPBD, Mejar Mohd Reduan Aini; Setiausaha Politik kepada Menteri Perpaduan Negara, Dr. Stephen William; wakil Ketua Polis Daerah Kanowit, Insp Uthman Affan Abdoll Kadir; serta wakil-wakil agensi pelaksana pengurusan bencana daerah.

-RJ-

Tinggalkan komen anda