
Laporan/ foto: Mohd Zahid Othman/ Ranhill SAJ (Johor)
JOHOR BAHRU, 6 Nov (MalaysiaAktif) – Ranhill SAJ Sdn Bhd, operator air tunggal di Johor menyokong penuh cadangan kerajaan negeri mewartakan Sungai Johor sebagai kawasan tadahan air kekal bagi memastikan sumber air mentah negeri itu terus terpelihara daripada sebarang bentuk pencemaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Anuar Abdul Ghani berkata langkah tersebut penting bagi menjamin keselamatan bekalan air mentah kepada hampir dua juta pengguna di negeri berkenaan.
“Ranhill SAJ amat bimbang dengan ancaman pencemaran yang boleh menjejaskan operasi empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Johor, sekali gus menjejaskan bekalan air kepada pengguna.
“Pewartaan Sungai Johor sebagai kawasan tadahan kekal akan menjadi benteng utama dalam melindungi sumber air negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Empat LRA yang beroperasi di Sungai Johor ialah LRA Sungai Linggiu, Semangar, Sungai Johor dan Tai Hong.
Selain itu, Anuar berkata terdapat lapan lagi LRA dalam lembangan Sungai Muar iaitu LRA Panchor 1 hingga 4, Pagoh, Gombang, Gersik dan Bukit Serampang.
Beliau menjelaskan bahawa pewartaan kawasan tadahan air kekal bukan sahaja akan mengawal pembangunan dan aktiviti industri di sekitar kawasan berkenaan, tetapi juga membolehkan langkah pencegahan serta penguatkuasaan dijalankan dengan lebih berkesan oleh pihak berkuasa.
“Isu pencemaran sungai bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, malah turut mengancam kesejahteraan rakyat.
“Apabila operasi loji terpaksa dihentikan akibat kualiti air mentah yang rendah, ia memberi kesan langsung kepada rakyat serta menjejaskan kemajuan ekonomi negeri,” katanya.
Anuar menegaskan bahawa perlindungan kawasan tadahan air merupakan keutamaan strategik bagi memastikan kelestarian bekalan air kepada rakyat Johor.
Beliau turut menyeru agar kerjasama antara kerajaan negeri, agensi penguat kuasa, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat terus diperkukuh dalam usaha memelihara kebersihan dan kelestarian sungai.
“Air adalah sumber kehidupan dan tanggungjawab memeliharanya perlu dikongsi oleh semua pihak.
“Ranhill SAJ komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam memastikan sumber air negeri ini sentiasa dilindungi dan berdaya tahan untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Pencemaran Sungai Johor pada Jumaat lalu memaksa empat LRA dihentikan selepas kekeruhan air mencecah 37,400 NTU (Nephelometric Turbidity Unit ialah unit ukuran tahap kekeruhan air) berbanding paras normal 400 NTU, menjejaskan hampir 300,000 akaun pengguna di beberapa daerah termasuk Johor Bahru dan Kota Tinggi.
-AA-






