Skip to main content
Berita TempatanSabah

PASCA- Angkat Martabat Tulisan Jawi Dalam Pendidikan

By 6 November 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nazri Ramshah Abdul Basah/Lorenica Frenila Masundim (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 6 Nov (MalaysiaAktif) – Seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Bawang K0, Beluran berjaya mencipta sebuah aplikasi interaktif Pastas Baca Jawi (PASCA-) sebagai pedagogi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) tulisan Jawi dalam kalangan murid.

Cikgu Loren menunjukkan Aplikasi PASCA-? ciptaannya.

Lorenica Frenila Masundim, 35, berkata aplikasi itu dicipta selepas menyedari wujud jurang kemahiran tulisan Jawi dalam kalangan murid bukan beragama Islam yang hanya didedahkan dengan modul tersebut semasa peralihan ke Tahap 2.

“Pada awalnya memang sangat mencabar terutama kepada murid bukan beragama Islam yang hanya mengenal tulisan Jawi bermula usia 10 tahun dan dari situ mendorong saya untuk menghasilkan inovasi untuk membantu guru dan murid menguasai kemahiran membaca tulisan Jawi dengan lebih pantas dan mudah.

“Aplikasi PASCA- merupakan alat bantu bagi guru untuk memudahkan mengajar serta menjadi bahan untuk memudahkan murid lebih memahami tulisan jawi selain masyarakat yang berminat dengan tulisan jawi dapat menguasai kemahiran membaca Jawi dengan mudah” katanya ketika dihubungi Malaysia Aktif pada Rabu.

Beliau berkata aplikasi tersebut dibangunkan bersama beberapa pakar bahasa sejak Januari 2025 dan dijadikan sebagai bahan kajian beliau yang kini sedang menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Cikgu Lorenica (tengah) ditemani Penolong Kanan HEM SK Bawang K9, Cikgu Alexius Jillyne Engkamat (kanan), dan Ustazah Noorhazierra Latuwoh (kiri) selepas majlis penyampaian anugerah IMAN25.

“Dalam proses menghasilkan aplikasi ini, saya juga menerima nasihat dan dibantu oleh profesor saya sebagai penyelia kajian, tiga orang munshi Jawi dan pensyarah Bahasa Melayu sebagai rujukan saya selain dua orang guru di SK Bawang K9 yang banyak membantu saya,” ujarnya.

Lebih membanggakan, keupayaan aplikasi PASCA- dalam memartabat tulisan Jawi telah diiktiraf apabila meraih anugerah khas pada Pertandingan Inovasi Alam Melayu Antarabangsa (IMAN25) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 3 November lepas.

Pengiktirafan tersebut katanya akan dijadikan batu loncatan untuk pembangunan modul-modul berkualiti menerusi aplikasi yang sedang dibangunkan itu sehingga ke tahap yang lebih baik.

“Saya juga gembira meskipun aplikasi ini belum siap sepenuhnya, saya dimaklumkan ramai individu yang memberitahu mereka juga berminat untuk menggunakannya aplikasi ini. Namun, saya berharap semua dapat bersabar menunggu hasil akhir nanti.

“Ini kerana saya yakin apabila siap sepenuhnya, aplikasi ini bukan sahaja boleh digunakan oleh guru dan pelajar, malah terbuka dan sesuai digunakan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira batas umur, bangsa dan agama. Bahkan, boleh juga dicuba di negara jiran yang menggunakan Bahasa Melayu atau Jawi,” katanya.

Loren ketika mengajar di rumah murid-muridnya.

Sebagai permulaan, beliau sering berkongsi tentang penggunaan aplikasi PASCA- dalam sesi pembelajaran menerusi media sosial di akaun TikTok dan Facebook miliknya iaitu ‘Loren Fren’ sekali gus memberi pendedahan awal kepada masyarakat umum.

Selain anugerah khas pada IMAN25, draf pertama aplikasi itu juga pernah menerima Anugerah Perak dalam Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran Antarabangsa 2025 (i-TLIC) anjuran Persatuan Penyelidik dan Khidmat Sosial Malaysia (AMRASS).

Usaha yang dilakukan oleh Loren juga bukan hanya pada waktu persekolahan semata-mata kerana beliau turut berkunjung ke rumah murid di sekitar kawasan kampung menggunakan pengangkutan sendiri bahkan kadangkala perlu menaiki bot untuk sampai ke beberapa kawasan bagi tujuan PdP.

-RJ-

Tinggalkan komen anda