Skip to main content
Berita TempatanSabah

SPR Sabah Bersedia Hadapi PRU DUN ke-17, Pastikan Pengundian Lancar dan Telus

By 9 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sunday Grace Justimus (Penampang)

PENAMPANG, 9 Nov (MalaysiaAktif) – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17 kini hampir lengkap bagi memastikan proses pengundian berlangsung lancar, telus dan selamat.

Penolong Pengarah Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah Jhasmeen Nureen Ngong berkata persiapan logistik dan pengurusan kini mencapai lebih 95 peratus menjelang hari penamaan calon pada 15 November ini, manakala hari pengundian akan berlangsung pada 29 November ini.

Jhasmeen Nureen menerima sijil penghargaan daripada Penolong Pengarah, Bahagian Media Siber, Nuzuluddin Abdul Razak.

“Segala peralatan sudah digerakkan dan barang-barang untuk hari penamaan calon sudah selamat tiba di tangan Pegawai Pengurus (RO).

“Sebanyak 25 pusat penamaan calon dan 940 pusat mengundi disediakan bagi kemudahan 1.7 juta pengundi berdaftar, termasuk 58 pusat undi awal dan 882 pusat undi biasa,” katanya dalam temu bual program Influencer@JAPEN, di sini pada Jumaat.

Tambah Jhasmeen dalam menghadapi cabaran geografi Sabah, SPR menyediakan pelan logistik bagi kawasan pedalaman dan pulau yang sukar diakses.

“Petugas dihantar lebih awal, dan bagi kawasan pulau, helikopter digunakan untuk membawa keputusan rasmi (Borang 14) ke pusat pengiraan,” jelasnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Akademi Pilihan Raya (APR), Nomi Juliana Mohamad Ridzwan berkata hanya pengundi yang berdaftar dalam Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bulan Ogos 2025 layak mengundi.

Nomi Juliana menerima sijil penghargaan daripada Nuzuluddin.

Tambahnya, seramai 33,002 petugas pilihan raya telah dilatih bagi memastikan kelancaran pengundian.

“Kita latih mereka secara menyeluruh, termasuk cara mengurus pengundi pengsan atau berkeperluan khas seperti kehilangan jari,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai membuat semakan maklumat pengundian menerusi MySPR Semak mulai 1 November lepas, bagi mengetahui lokasi, saluran dan masa mengundi.

SPR juga menegaskan bahawa kempen pilihan raya kali ini akan dipantau ketat oleh Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) yang melibatkan wakil pihak berkuasa tempatan (PBT), wakil Pegawai Pengurus, wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta wakil calon.

Untuk makluman, SPR turut mengukuhkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) bagi memastikan kelancaran komunikasi dan bekalan elektrik sepanjang pengundian dan pengiraan undi.

-RI

Tinggalkan komen anda