Skip to main content
Berita TempatanSabah

SPR Perkukuh Kesedaran Pengundi, Pastikan Petugas Bersedia Sepenuhnya

By 9 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sunday Grace Justimus (Penampang)

PENAMPANG, 9 Nov (MalaysiAktif) – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus memperkukuh usaha memberikan pendidikan pengundi kepada seluruh lapisan masyarakat serta memastikan petugas pilihan raya bersedia sepenuhnya dalam melaksanakan tanggungjawab semasa proses pengundian.

Penolong Pengarah Akademi Pilihan Raya (APR) Nomi Juliana Mohmad Ridzwan berkata SPR telah lama menjalankan program pendidikan pengundi di pelbagai peringkat termasuk sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, badan bukan kerajaan (NGO), kementerian serta agensi kerajaan.

“Sebagai contoh, kalau kita bagi pendidikan pengundi kepada pelajar sekolah rendah, kita cerita perkara asas seperti membuat pilihan. Contohnya, nak makan apa roti canai atau nasi lemak. Tiada pilihan yang salah kerana setiap orang berhak memilih,” katanya ketika ditemu bual dalam program FYI@JAPEN di studio Media, Jabatan Penerangan Sabah di sini pada Jumaat.

Katanya lagi, melalui pendekatan tersebut, SPR mendidik masyarakat supaya bijak memilih pemimpin dengan matlamat mudah iaitu wakil rakyat atau pemimpin yang mampu berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Selain pendidikan pengundi, Akademi Pilihan Raya turut memainkan peranan penting dalam melatih petugas pilihan raya agar proses pengundian berjalan lancar.

“Latihan taklimat petugas pilihan raya ini berbeza dengan pendidikan pengundi. Petugas akan diberikan maklumat penuh daripada A hingga Z tentang apa yang perlu dilakukan sepanjang proses pengundian.

“Latihan tersebut berpandukan Buku Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan merangkumi semua kemungkinan yang boleh berlaku di pusat mengundi,” jelasnya.

Jhasmeen Nureen dalam program FYI@JAPEN di Studio Media, Jabatan Penerangan Sabah, Penampang.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah Jhasmeen Nureen Ngong, berkata SPR turut memastikan aspek teknikal seperti talian komunikasi di pusat mengundi berada dalam keadaan baik sepanjang tempoh pilihan raya.

“Untuk memastikan talian komunikasi berfungsi, SPR bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan liputan di kawasan yang tiada capaian internet dengan menggunakan khidmat styling.

“Sebanyak 219 pusat mengundi menggunakan perkhidmatan styling melibatkan 25 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) serta bilik gerakan pegawai pengurus pilihan raya.

“Kebanyakan pusat mengundi menggunakan khidmat styling untuk menyediakan liputan internet bagi membantu petugas menjalankan semakan dengan lebih lancar,” katanya.

Usaha bersepadu ini jelas menunjukkan komitmen SPR dalam memastikan proses pilihan raya dijalankan secara telus, efisien dan berintegriti di seluruh negara.

-RI

Tinggalkan komen anda