
Laporan/ foto: Fatin Nabila Muktar/ Facebook Warta Kedah
SINTOK, 10 Nov (MalaysiaAktif) – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengharumkan nama negara apabila berjaya menempatkan kedudukannya di tangga ke-491 terbaik dunia sekali gus menyerlah dalam bidang Pendidikan Berkualiti dan Inovasi.

Istiadat Pengisytiharan Sesi Pertama Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia
Kejayaan ini merupakan hasil usaha gigih seluruh warga universiti dalam memperkukuh kecemerlangan akademik dan penyelidikan.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah UUM kini gah di persada antarabangsa dengan kualiti penyelidikan yang meningkat, graduan yang berdaya saing serta peningkatan jumlah pelajar antarabangsa yang memilih universiti pengurusan terkemuka itu sebagai destinasi ilmu.
“Beta ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian. Detik ini adalah satu permulaan untuk melaksanakan tanggungjawab besar terhadap agama bangsa dan negara.
“Ijazah yang diperoleh adalah satu amanah untuk menyalakan obor kebenaran dan kemanusiaan,” titah baginda sempena Istiadat Pengisytiharan Sesi Pertama Konvokesyen Ke-38 UUM yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah UUM, di sini semalam.

Suasana di dalam Dewan Mu’adzam Shah
Baginda turut mengingatkan agar institusi pengajian tinggi tidak dijadikan medan politik atau tempat menabur fitnah kerana tindakan sedemikian boleh merosakkan kepercayaan masyarakat dan masa depan generasi muda.
“Universiti haruslah menjadi jambatan perpaduan bukan tembok perpecahan,” titah baginda lagi sambil menegaskan ilmu perlu dijadikan benteng kemerdekaan bangsa.
Istiadat konvokesyen tersebut bukan sahaja meraikan kejayaan graduan tetapi turut memperkukuh peranan UUM sebagai Universiti Ilmu Budi dan Bakti selaras dengan titah Sultan Sallehuddin agar pendidikan menjadi cahaya yang menerangi Kedah dan Malaysia ke arah masa depan yang lebih gemilang.
-AA-





