
Laporan/foto: Abdul Hadi Abdul Ghani/Juhara Ali Omar (Semporna)
SEMPORNA, 11 Nov (MalaysiaAktif) – Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) 2025 terus membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Terkini, sebanyak 128 unit rumah di bawah Program Rumah SMJ bakal dibina di daerah Semporna khusus melibatkan masyarakat daripada golongan berpendapatan rendah dan penduduk luar bandar.
Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Myrna Jimenez berkata program itu sejajar dengan Hala Tuju SMJ bagi memastikan rakyat memiliki kediaman yang selesa, selamat dan mampu milik.

Myrna Jimenez ketika merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra SMJ Peringkat Daerah Semporna di Dewan Arena Masyarakat Semporna.
“Pada tahun ini, kerajaan negeri Sabah telah memperuntukkan setiap DUN (Dewan Undangan Negeri) sebanyak 40 unit rumah, menjadikan keseluruhan untuk Semporna sebanyak 120 unit rumah mesra SMJ.
“Selain itu, dengan komitmen Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, telah diberikan lapan unit tambahan menjadikan jumlah keseluruhan Rumah Mesra SMJ bagi Semporna pada tahun 2025 sebanyak 128 unit,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra SMJ Peringkat Daerah Semporna di Dewan Arena Masyarakat Semporna, di sini pada Isnin.
Penyerahan tersebut merangkumi penerima Program Rumah SMJ di tiga Sulabayan, Senallang dan Bugaya.
Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah (Kanan), Abdul Azis Abd Bool berkata program tersebut dilaksanakan dengan mengambil kira kemampuan rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Penerima Rumah Mesra SMJ 2025 menerima kunci secara simbolik daripada pihak kerajaan negeri.
“Memahami keluhan rakyat untuk memiliki rumah pada harga murah, pembinaan Rumah Mesra SMJ menggunakan konsep Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sepertimana kita sering lihat di bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia.
“Tujuannya selari dengan pendekatan Rumah Mesra SMJ iaitu membasmi golongan miskin luar bandar dan memastikan golongan sasar berupaya menaik taraf kehidupan dengan memiliki rumah sendiri,” katanya.
Penerima rumah yang juga orang kurang upaya (OKU), Migrosa Yusof, 67, percaya, pembinaan rumah berkenaan akan membantu meningkatkan taraf hidup mereka dengan kediaman yang lebih kondusif.
“Pembinaan Rumah Mesra SMJ adalah salah satu inisiatif kerajaan bagi menangani masalah perumahan rakyat terutama kepada golongan berpendapatan rendah seperti B40. Pelaksanaan inisiatif itu sejajar dengan usaha berterusan kerajaan negeri dalam membela nasib rakyat dan membawa pembangunan yang inklusif di seluruh Sabah,” katanya.

Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra SMJ di kediaman Rahimah.
Bagi seorang lagi penerima, Rahimah Saddil, 69, yang tersenarai dalam kategori e-Kasih, inisiatif Rumah SMJ memberi peluang besar kepada rakyat kurang berkemampuan untuk memiliki kediaman sendiri.
“Rumah SMJ secara percuma ini sememangnya banyak membantu rakyat terutamanya mereka yang tidak mampu membina rumah di tanah sendiri disebabkan kekangan kewangan. Inisiatif ini perlu diteruskan dan ditingkatkan supaya lebih ramai lagi rakyat yang dikategorikan golongan e-Kasih dapat dibantu sekali gus mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan tegar,” ujarnya.
-RJ-





