Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

APM Johor Sedia Hadapi Monsun Timur Laut

By 11 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 11 Nov (MalaysiaAktif) – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula Khamis ini dan berterusan sehingga Mac tahun hadapan.

Timbalan Pengarah APM Johor Leftenan Kolonel (PA) Mohd Huzaimi Raup berkata pihaknya bersedia sepenuhnya dengan kekuatan petugas serta aset yang sedia digerakkan  bila-bila masa bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

Mohd Huzaimi (duduk kanan) bersama pasukan rakaman program Influencer@JaPen Johor: Apa Cerita Ek? yang disiarkan secara langsung di laman rasmi media sosial Jabatan Penerangan Negeri Johor pagi tadi.

“Setiap tahun kita bersedia, cuma tahap bencana itu sukar dijangka. Namun, kita tetap akan menggerakkan semua aset dan anggota mengikut kemampuan yang ada,” katanya ketika ditemui selepas sesi rakaman program Influencer@JaPen Johor: Apa Cerita Ek? di Studio CMS Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Johor, di sini hari ini.

Menurutnya, program berkenaan amat bertepatan dengan situasi semasa memandangkan negara bakal memasuki MTL yang lazimnya membawa risiko bencana seperti banjir.

“Program seperti ini dapat membantu memberi maklumat yang tepat kepada rakyat, khususnya masyarakat Johor, mengenai tahap kesiapsiagaan agensi keselamatan dalam menghadapi MTL kali ini.

Penyediaan bag ready-to-go sangat penting ketika berhadapan risiko bencana seperti banjir bagi memudahkan pemindahan ke PPS ketika bencana.

“Antara perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah pendaftaran MyAplikasi Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (MyABJKM) yang membolehkan bantuan seperti wang ehsan disalurkan dengan lebih cepat dan terselaras,” katanya.

Mohd Huzaimi turut menasihatkan setiap keluarga agar menyediakan bag ready-to-go yang mengandungi dokumen penting dan keperluan asas bagi memudahkan proses pemindahan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya berlaku bencana.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan MTL 2025/2026 dijangka bermula Khamis ini dan berterusan sehingga Mac 2026, dengan lima hingga tujuh episod hujan lebat diramal berlaku sepanjang tempoh tersebut.

-RI

Tinggalkan komen anda