
Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Zaharrudin Ismail
KUALA TERENGGANU, 12 Nov (MalaysiaAktif) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebagai barisan hadapan keselamatan maritim negara sentiasa komited memperkukuh tahap keselamatan komuniti maritim melalui hebahan, rondaan serta kesiapsiagaan aset serta anggotanya terutama ketika mendepani Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu berharap kempen Kesedaran Keselamatan di Laut ini dapat meningkatkan kepekaan masyarakat maritim terhadap aspek keselamatan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah APMM Terengganu Kapten Maritim Hamiludin Che Awang berkata selain penguatkuasaan, pendekatan pendidikan dan advokasi keselamatan turut diberi penekanan bagi membina budaya keselamatan dalam kalangan komuniti maritim.
“Setiap tahun, MTL membawa cabaran besar dengan laut bergelora, angin kencang dan hujan lebat yang berisiko mengancam keselamatan nyawa serta harta benda. Oleh itu, kesiapsiagaan dan kesedaran adalah kunci utama bagi mengurangkan risiko insiden di laut mahupun di darat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kempen Kesedaran Keselamatan di Laut di Dataran Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu, di sini semalam.
Kempen anjuran APMM bersama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Terengganu itu bertujuan bertujuan meningkatkan kepekaan masyarakat maritim terhadap aspek keselamatan sepanjang tempoh MTL yang dijangka bermula esok hingga Mac tahun hadapan.

Kerjasama antara Maritim Malaysia dan Jabatan Penerangan Negeri Terenggan telah menganjurkan Kempen Kesedaran Keselamatan di Laut bagi memperkukuh kesedaran tentang kepentingan keselamatan ketika menjalankan aktiviti di perairan negara,
Antara amalan yang ditekankan termasuk penggunaan jaket keselamatan, pendaftaran bot, penyelenggaraan peralatan komunikasi, serta pematuhan terhadap amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Sementara itu Pengarah JAPEN Terengganu Sait Yaman berkata kempen berkenaan turut diteruskan melalui penyampaian mesej keselamatan kepada masyarakat pesisir melalui program Info On Wheels (IOW) dan taklimat santai di beberapa buah perkampungan nelayan di Besut, Dungun dan Kemaman.
Langkah berterusan itu diharap dapat meningkatkan kesedaran serta membentuk komuniti maritim yang lebih bertanggungjawab dan bersiap siaga menghadapi cabaran MTL.
-RI





