
Laporan/foto: Zayana Isa/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 14 Nov (MalaysiaAktif) – Sebanyak 11 koperasi di Pahang tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia bagi tahun ini.

Sultan Pahang berkenan melancarkan gimik perasmian.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata antara koperasi yang tersenarai adalah Koperasi Serbaguna Dara Berhad, Koperasi Felda Sungai Koyan 3 Berhad dan Koperasi LKPP Pahang Berhad.
“Ketiga-tiga koperasi ini merupakan koperasi yang menyumbang zakat terbesar bagi negeri Pahang,” katanya sewaktu berucap di Majlis Perasmian Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan Tahun 2025, di sini semalam.
Beliau berkata terdapat 1,173 buah koperasi dengan keanggotaan sekitar 307,000 orang di negeri Pahang dan berjaya merekodkan perolehan sebanyak RM980 juta.
“Dari segi modal syer dan yuran pula, koperasi-koperasi di Pahang telah mengumpul sebanyak RM452 juta modal syer dan jumlah aset mencecah RM1.7 bilion,” katanya.

Koperasi kariah masjid dalam negara turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
Menurutnya, koperasi kariah masjid di Malaysia menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan 578 koperasi berdaftar membabitkan keanggotaan seramai 47,830 orang.
“Sehingga kini, koperasi kariah masjid berjaya mencatat perolehan sebanyak RM30.6 juta dan jumlah aset sebanyak RM41.11 juta. Ini membuktikan bahawa koperasi-koperasi masjid juga mampu menjana ekonomi dan menyumbang kepada kesejahteraan sosial komuniti setempat,” katanya.
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
-RI





