
Laporan/ foto: Noor Farihah Mohamed Rahim
TANAH MERAH, 14 Nov (MalaysiaAktif) – Bertempat di Masjid Mukim Padang Siam Tanah Merah, telah diadakan Program Gotong-Royong One Hour Clean Up Anti Aedes dengan melakukan pembersihan di kawasan hotspot yang berpotensi menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes sekitar kawasan perumahan komuniti.

Sesi pendaftaran bagi penglibatan peserta gotong-royong
Program ini merupakan usaha berterusan Pejabat Kesihatan Daerah Tanah Merah dengan kerjasama Majlis Daerah Tanah Merah dan Masjid Mukim Padang Siam Tanah Merah sebagai usaha membanteras tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Pegawai Perubatan Kesihatan Awam, Pejabat Kesihatan Daerah Tanah Merah Dr. Nik Aida Nik Adib, berkata pelaksanaan program tersebut memberi fokus kepada lokaliti yang pernah dijangkiti wabak denggi bagi memastikan kawasan berkenaan bebas daripada pembiakan Aedes.
“Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan tindakan memusnahkan tempat pembiakan Aedes dibuat secara konsisten bukan hanya tertumpu ke kawasan yang telah diserang wabak tersebut, sebaliknya ia turut dilaksanakan di kawasan-kawasan lain yang mempunyai potensi tinggi untuk diserang wabak berkenaan.

Penduduk setempat menyertai program gotong-royong
“Saya pasti program ini adalah strategi penting bagi membanteras wabak denggi dan semua pihak perlu bertanggungjawab menjaga kebersihan khususnya di luar rumah kerana denggi boleh mengancam nyawa dan tidak boleh dipandang remeh,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, Imam Masjid Mukim Padang Siam, Dr. Mohd Zawawi Mohammad, menekankan bahawa penglibatan aktif komuniti setempat amatlah perlu bagi membanteras wujudnya lokasi yang berisiko menjadi pembiakan nyamuk Aedes dan mencegah penularan wabak demam denggi serta meningkatkan kesedaran komuniti terhadap tahap kebersihan kawasan perumahan
Beliau turut menyeru penduduk Kampung Padang Siam agar sentiasa peka dan prihatin terhadap ancaman pembiakan nyamuk Aedes yang boleh menjejaskan kesihatan keluarga serta mengundang risiko maut sekiranya dijangkiti demam denggi.
-AA-





